OKU penglihatan minta warganet hentikan tuduhan tidak berasas

PERMATANG PAUH – Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Abu Hasan Mahmud meminta warganet segera menghentikan segala tuduhan yang tidak berasas mengenai kehidupan dia dan keluarganya.

Abu Hasan sebelum ini menjadi tular selepas mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar memuat naik mengenai kepayahan hidup yang dilaluinya di laman Facebook yang kemudiannya menjadi perdebatan dalam kalangan penyokong beberapa parti politik.

“Orang ramai tidak wajar menyerang saya dan YB Nurul Izzah hanya kerana beliau menulis coretan mengenai kepayahan hidup yang telah saya lalui.

“Apa yang ditulis oleh YB Nurul Izzah adalah benar sebagaimana yang saya sendiri ceritakan kepada beliau tanpa ada tokok tambah walau sedikitpun.

“Tambahan pula, apa yang ditulis itu tidak menyerang atau menyentuh peribadi mana-mana individu atau ahli politik,” katanya kepada media ketika ditemui di Flat Ampang Jajar dekat sini sebentar tadi.

Fahmi Zainol (kanan) ketika membantu Abu Hasan baru-baru ini. Gambar dari Facebook Nurul Izzah Anwar.

Turut hadir, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Abu Hasan berkata, semua tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah berniat jahat dan tidak benar sama sekali.

“Mereka mendakwa bahawa saya mempunyai kehidupan mewah hanya kerana saya pernah membawa keluarga makan di restoran makanan segera dan menggunakan perkhidmatan Grab untuk bergerak.

“Ya memang betul saya ada bawa keluarga makan KFC (Kentucky Fried Chicken) tapi bukanlah setiap hari sebaliknya hanya dalam enam bulan sekali… itupun apabila saya dapat pendapatan lebih sedikit atau pada hari-hari istimewa seperti hari raya Aidilfitri.

“Apakah dengan membawa keluarga makan KFC enam atau tujuh bulan sekali itu sudah boleh digambarkan saya mempunyai kehidupan yang mewah?” soalnya.

Mengenai penggunaan perkhidmatan Grab pula, Abu Hassan berkata dia terpaksa memilih medium pengangkutan itu untuk bergerak kerana dia tidak mampu melihat (buta).

“Saya akui memang saya terpaksa menggunakan Grab untuk menghantar anak saya ke sekolah dan ke tempat kerja walaupun saya terpaksa menanggung kos yang sangat tinggi iaitu kira-kira RM2,000 sebulan.

“Kalau saya tak gunakan Grab saya nak guna apa lagi…saya tidak mempunyai kenderaan dan tidak boleh memandu… hendak naik bas pula sukar kerana saya buta dan terpaksa membawa kerusi urut dan barang-barang untuk berniaga setiap hari.

“Jadi saya menggunakan perkhidmatan Grab walaupun terpaksa membayar hampir RM70 hingga RM80 sehari kerana pergerakan saya sangat terbatas,” jelasnya yang menanggung anaknya berusia 10 tahun dan anak tiri (14 tahun).

Difahamkan, Abu Hasan dan isterinya, Nor Amida bekerja sebagai tukang urut di sekitar Padang Kota dan menjual bekas plastik di pasar malam Permatang Pauh.

Dalam pada itu, Abu Hasan mengakui bahawa dia dan isteri merupakan penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak tahun 2017.

Lee Khai Loon semasa sedang membantu Abu Hasan menjual bekas makanan di pasar malam Permatang Pauh.

“Saya dan isteri menerima elaun pekerja cacat daripada JKM berjumlah RM450 seorang setiap bulan dan bantuan ini saya terima sejak 2017 lagi dan bukannya tahun 2020 seperti yang didakwa,” katanya.

Abu Hasan turut menafikan tuduhan bahawa dia mempunyai dua buah rumah sebaliknya hanya mempunyai sebuah rumah pangsa di Bukit Mertajam.

“Saya hanya ada sebuah rumah sahaja iaitu di Flat Desa Wawasan yang dibeli atas bantuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun lepas.

“Saya masih belum berpindah ke sana kerana anak masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh dan sekiranya saya berpindah, kos menghantar anak ke sekolah menjadi lebih tinggi.

“Anak saya mempunyai masalah tekanan psikologi yang menyebabkan dia lambat untuk menerima perubahan dan dia sedang menjalani rawatan kaunseling di Hospital Pulau Pinang.

“Sebab itu, saya janji bahawa selaps anak saya masuk ke Tingkatan 1 barulah kami akan berpindah ke rumah baru,” katanya yang kini sedang menyewa sebuah rumah di Rumah Pangsa Ampang Jajar.

Abu Hasan berkata, kisah yang diceritakan kepada Nurul Izzah adalah realiti kehidupan dia dan keluarga yang disembunyikan daripada pengetahuan umum ekoran sikanya yang tidak gemar untuk meminta-minta.

“Walaupun saya buta tapi saya tidak gemar meminta-minta.. saya akan berusaha sedaya-upaya untuk mencari pendapatan sendiri.

“Tetapi apabila ada yang mengadu mengenai kehidupan saya kepada YB Nurul Izzah dan beliau sudi membantu, saya sudah tentulah saya berasa amat beruja dan menceritakan kisah hidup saya kepada beliau,” katanya.

Justeru, Abu Hasan meminta orang ramai untuk tidak mempolitikkan bantuan yang diterimanya dan menghentikan segala tohmahan terhadap dia dan Nurul Izzah.

“Jangan pandang kehidupan orang buta dengan pandangan orang yang normal sebaliknya lihat kami dari sisi pandang orang buta yang mempunyai keterbatasan dari segi pergerakan.

“Saya hanya menceritakan mengenai kisah hidup saya tanpa sedikitpun menyentuh mengenai mana-mana ahli politik, jadi saya terkejut kenapa pengikut pemimpin politik begitu menghentam kehidupan saya dan menuduh saya menipu,

“Ini adalah kehidupan saya dan hanya saya tahu apa yang telah saya lalui,” ujarnya sayu sambil berharap agar segala tuduhan yang berlegar di media sosial dapat dihentikan segera.

Sementara itu, Khai Loon  berharap laskar siber daripada semua parti politik untuk bersifat lebih empati terhadap keluarga Abu Hasan dan OKU yang lain.

“Saya harap orang ramai faham menegnai kehidupan Abu Hasan yang perlu berdepan cabaran tetapi tetap berdikari atas usaha sendiri tanpa meminta bantuan orang lain dan dia tidak sepatutnya dilihat sebagai individu yang mahu mengambil kesempatan,” ujarnya.

Fahmi pula dalam pada itu, menggesa orang ramai untuk mengetepikan soal politik dan tampil membantu mereka yang memerlukan terutamanya golongan OKU.

“Apa yang penting adalaha apabila ada pihak yang mem bantu (orang OKU), pihak lain juga sepatutnya bertungkus lumus membantu juga dan bukannya menyerang mereka kerana ini akan memberikan kesan negatif kepada penerima bantuan,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF