Old Boy, kebebasan dan anak Malaysia

Oleh: Firdaus Zolkifli,
Analis PenangInstitute

MENUJU ke Komtar, terpampang papan iklan tentang sebuah filem yang akan ditayangkan. Tajuknya Oldboy. Filem yang akan ditayangkan oleh FilmDistrict ini adalah remake dari filem asalnya bawah arahan Park Chan-Wook pada 2003 dengan tajuk yang sama. Cerita ini bukanlah idea asal Park Chan Wook, tetapi diambil dari sebuah manga karya Garon Tsuchiya dan Nobuaki Minegishi. Dengan panjang 8 volume (79 bab), Oldboy diekspresi dengan baik sekali. Terbit pertama pada tahun 1996 secara mingguan di majalah Fu t u b a sha dan kemudiannya dicetak untuk terjemahan ke dalam bahasa Inggeris dan dibeli oleh Dark Horse Comics serta diedarkan ke seluruh dunia.

Oldboy (versi manga) mendapat penghargaan Eisner Award untuk Best U.S edition of International Material – Japan pada tahun 2003. Bagi versi filemnya di bawah arahan Park Chan Wook, filem ini diberi 4 bintang (daripada 4 bintang) oleh Roger Ebert, tokoh kritik filem. Majalah filem, Empire juga menempatkan Oldboy ditempat ke 18 dari 100 filem terbaik sepanjang zaman. Ketika ditayangkan pada tahu 2003, Oldboy mendapat perhatian di Festival Cannes kerana meraih Grand Jury Prize. Filem ini juga meraih penghargaan dari European Film Awards, British Independent Film Awards, Austin Film Critics Association Awards, Chicago Film Critics Association Awards, Hong Kong Film Awards, Stockholm Film Festival, Bangkok International Film Festival dan Asia Pacific Film Awards.

Durasi filem sepanjang 120 minit ini dimulakan dengan adegan seorang lelaki mabuk membuat kacau di balai polis. Lelaki mabuk itu bernama
Daesu, lakonan Min Sik Choi sebenarnya ketika itu dalam perjalanan membelikan hadiah harijadi untuk anaknya. Setelah meninggalkan balai polis dan menuju jalan pulang, Daesu diculik dan dikurung oleh orang yang tidak dikenali, juga tanpa diketahui alasannya mengapa dia dikurung. Tanpa mengetahui siapa dan mengapa dikurung adalah perkara yang menyakitkan, apatah lagi hukuman yang ditanggung oleh Daesu, dikurung selama 15 tahun tanpa alasan. Terpisah hubungan dengan isteri dan anak serta hubungan dengan dunia luar, Daesu hanya mengetahui perkara-perkara lain hanya melalui TV yang disediakan di tempat kurungannya. Setelah 11 tahun terkurung, Daesu seakan merasakan bilik kurungan itu adalah rumahnya walaupun masih ada cubaan untuk membebaskan dirinya. Namun, seperti yang telah dirancang, setelah 15 tahun dikurung, Daesu dilepaskan dari kurungan tanpa sebarang syarat, juga tanpa sebarang alasan mengapa dilepaskan.

Setelah dikurung selama 15 tahun tanpa alasan, dan dilepaskan juga tanpa alasan, Daesu menjadi seorang manusia keliru. Dia tidak lagi bertanyakan mengapa dia dikurung, tetapi bertanyakan mengapa dia dilepaskan. Bagi Daesu, kebebasan yang diterima adalah penjara kedua bagi dirinya. Pengalaman dikurung dalam jangka waktu yang lama menjadikan Daesu takut kepada kebebasan. Pada babak ini, Daesu dan juga penonton diajak untuk berdepan dengan sebuah tema besar dalam hidup, tentang kebebasan.

Tentang kebebasan
Kebebasan bukan tema baru untuk manusia. Memetik Rousseau, pemikir politik klasik, manusia dilahirkan sekali dengan kebebasan walaupun dalam waktu yang sama manusia akan terikat dan ditentukan. Begitu juga dengan ungkapan Jean Paul Satre, ahli falsafah Perancis yang menyatakan manusia itu sendiri adalah kebebasan. Bersandarkan kepada manusia adalah kebebasan, Satre mengeluarkan satu ungkapan berbunyi “existence precedes essence” – eksistensi melampaui esensi. Melalui ungkapan ini, Satre menyatakan kebebasan adalah kehendak manusia untuk memilih esensi berdasarkan eksistensinya. Hal ini bermaksud manusia perlu ada dahulu untuk mengungkap kehendaknya, bukan kehendaknya ditentukan awal-awal oleh kuasa dari luar. Misalnya sebuah lukisan di atas kanvas, sebelum melukis seseorang pelukis perlu mempunyai idea (dengan pilihannya ) untuk mengekspresikan dirinya ke dalam bentuk sebuah karya, dalam kata lain, karya yang dihasilkan adalah imaginasi pelukis . Pelukis yang membentuk karyanya, bukan karyanya yang membentuk pelukis.

Hanya melukis, sebuah kebebasan diperlukan, kebebasan berimaginasi dan berekspresi. Maka, kebebasan bukanlah hal yang asing untuk manusia, malahan kebebasan adalah perkara yang sering bermain dalam kehidupan keseharian manusia.

Meneruskan hujah Satre, kebebasan bukanlah sesuatu yang dilepaskan tanpa  tanggungjawab. Kehendak manusia untuk bebas menjadikan manusia berhadapan dengan kebarangkalian yang pelbagai dalam pilihannya. Di atas kebarangkalian yang pelbagai maka manusia menuju kepada satu perasaan cemas. Namun cemas bukanlah bermaksud takut, tetapi rasa ketidakpastian terhadap pilihan. Maka dengan rasa cemas, manusia berusaha untuk ulang fikir terhadap pilihan yang dibuat. Proses ulang fikir terhadap pilihan dan bertanggungjawab terhadap pilihan yang dibuat hari-hari adalah proses membentuk manusia. Manusia dalam fikiran Satre adalah manusia yang berproses menjadi lebih baik dari sehari ke sehari. Syarat manusia menjadi lebih baik adalah dengan kebebasan sekaligus kebebasan itu sendiri adalah proses manusia menjadi ‘manusia’ dengan penuh kemanusiaan.

Proses menjadi ‘manusia’ atas nama kebebasan ini tidak ekslusif terhadap batas kelas, batas usia, batas agama dan batas kaum, malahan ada dalam diri manusia itu sendiri. Maka tidak pelik mengapa filem OldBoy yang dibincangkan pada awalnya tadi mendapat tempat bagi penonton dan pengkritik filem serta diangkat sebagai antara filem terbaik sepanjang zaman di Korea Selatan. Sudah pasti kerana tema kebebasan adalah tema kita, tema semua manusia.

Bertanyakan tentang kebebasan kita

Mengambil semula ungkapan Satre “existence precedes essence” – eksistensi melampaui esensi, kita sebagai anak Malaysia pasti akan merenung kembali erti kebebasan di Malaysia. Tinggalkan dahulu akta yang jelas mengikat kebebasan seperti ISA, Akta Mesin Cetak dan AUKU, namun renung kembali apakah dasardasar yang digubal dan dilaksanakan benar-benar menuntut kita sebagai warganya untuk berpartisipasi dalam suasana yang lebih demokratik. Apakah dasar yang dilaksanakan bersandarkan kaum adalah ekspresi anak bangsa Malaysia terhadap negaranya dan apakah negara yang membentuk warganya atau warganya yang membentuk negara. Perspektif kaum dalam usaha merasioanal sebuah dasar adalah hal yang membelakangkan rasional itu sendiri. Apakah seorang manusia yang baru lahir boleh memilih untuk menjadi seorang warga bumiputera atau sebaliknya.

Persoalan ini yang menemukan kita dengan ungkapan Satre, “existence precedes essence”. Warga di Malaysia ditentukan nasibnya berbeza dengan nasib warga yang lain bersandarkan warna kulit, yang bukan merupakan pilihannya. Lebih malang lagi penentuan ini sudah dibuat sebelum seorang warga itu dilahirkan. Dalam kata lain, takdirnya telah ditentukan lebih awal sebelum seseorang itu dilahirkan. Ditentukan takdir mengikut warna kulit oleh negara ini adalah kurungan ilusi yang mmbodohkan malah tidak boleh dipersoalkan atas isu sensitif. Nampaknya, tiada bezanya nasib kita dengan Daesu dalam OldBoy yang dikurung tanpa diberi alasan. Namun, lebih malang dari Daesu, kita dikurung sebelum kita dilahirkan dalam kurungan yang lebih kompleks berdindingkan agama, bahasa dan kaum. Jika dinding kurungan ini tidak kita tumbangkan, kebebasan semakin jauh dan kemanusiaan akan meninggalkan kita.