SEBERANG JAYA – Seramai 200 orang kakitangan 3D (kotor, bahaya dan sukar) bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima sumbangan melalui Program Tautan Kasih One Hope Charity Tahun 2023.
Menurut Datuk Bandar bagi MBSP, Dato’ Azhar Arshad, sumbangan disampaikan adalah berbentu bakul makanan bernilai RM100 dan wang tunai RM200.
“Seperti yang kita sedia maklum, One Hope Charity & Welfare merupakan antara badan bukan kerajaan (NGO) yang paling aktif menjalankan misi kebajikan di negeri ini.
“Matlamat utama One Hope Charity adalah untuk memberi bantuan kos perubatan, bantuan pengebumian, sumbangan barang keperluan harian dan lain-lain kepada keluarga yang memerlukan di Pulau Pinang.
“One Hope Charity juga tidak terkecuali membantu warga kerja yang tidak berkemampuan dalam kalangan kakitangan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” ujarnya pada Program Tautan Kasih One Hope Charity Tahun 2023 di Menara Bandaraya MBSP di sini baru-baru ini.
Hadir sama, barisan Ahli Majlis bagi MBSP dan Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau.
Sementara itu,Sui Hau ketika berucap memberitahu bahawa kesanggupan mereka (kakitangan 3D) menjalankan tugas setiap hari walaupun berdepan risiko perlu dihargai kerana tidak semua orang sanggup melakukan kerja sedemikian.
“Tanpa keringat dan pengorbanan pekerja MBSP yang lebih dikenali ‘Wira Oren’ sudah pastinya masyarakat khususnya penduduk Seberang Perai tidak dapat menikmati kehidupan dengan persekitaran yang bersih dan selamat,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS