One Hope Charity & Welfare sumbang 4,200 set ‘Beg Penyayang’ untuk 40 KADUN

PADANG KOTA – Badan kebajikan One Hope Charity & Welfare (One Hope) menyumbang sebanyak 4,200 set ‘Beg Penyayang’ untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di semua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini.

Sumbangan disampaikan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam majlis ringkas yang diadakan di Pusat Khidmat KADUN Padang Kota di sini.

Turut hadir, Penasihat One Hope Charity & Welfare, Datuk R. Arunasalam serta Pengerusinya, Chua Sui Hau.

Chow Kon Yeow bersama-sama Chua Sui Hau menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Kon Yeow dalam ucapannya sebelum itu menzahirkan penghargaan terhadap komitmen berterusan pihak One Hope dalam menjalankan misi kebajikan di negeri sejak 2002.

Menurut beliau, One Hope sebelum ini telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada ratusan ribu orang kurang berkemampuan dengan yang terbaru adalah membantu Kerajaan Negeri mendirikan Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Kompleks Sukan Balik Pulau.

“Dan pagi ini, One Hope meneruskan misi bantuan mereka dengan menyediakan 4,200 bakul makanan berupa keperluan asas bernilai RM300 bagi setiap satu untuk disumbangkan kepada keluarga kurang berkemampuan di negeri ini.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar bantuan disalurkan ini dapat memberi sedikit kegembiraan dalam mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung terutamanya dalam musim penularan pandemik COVID-19,” katanya ketika merasmikan majlis berkaitan sebentar tadi.

Tambah Kon Yeow, pelbagai program kebajikan yang dilaksanakan oleh One Hope diharap dapat memberikan inspirasi kepada rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memainkan peranan serta bertindak sebagai sebuah keluarga.

“Kerajaan Negeri amat bertuah kerana di Pulau Pinang kita mempunyai NGO yang aktif, prihatin dan sentiasa bersama-sama dalam mengharungi tempoh sukar ini.

Majlis dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Tahniah serta syabas kepada One Hope atas usaha yang bermakna ini, dan diharapkan ia dapat terus mengorak langkah lebih maju dalam menjayakan misi membantu lebih ramai golongan memerlukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sui Hau memberitahu bahawa pemberian beg bantuan Penyayang One Hope Charity adalah melalui dana yang didermakan oleh orang ramai.

“Setiap sumbangan yang disalurkan akan melalui proses verifikasi seperti lawatan tapak dan pengesahan dokumen supaya bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD