One Hope, NGO pertama buka pusat pemberian vaksin berkonsepkan dalam taman

Admin

BUKIT TENGAH – One Hope Charity & Welfare (One Hope) menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama di negara ini yang membuka pusat pemberian vaksin percuma berkonsepkan dalam taman.

Pengerusinya, Datuk Chua Sui Hau berkata bahawa pusat pemberian vaksin tersebut dibangunkan di Shop-in d’Park Autocity dekat Juru dengan kos kira-kira RM1.5 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh One Hope.

Ruangan pemerhatian disediakan untuk keselesaan penerima vaksin.

“Pada mulanya kita rancang untuk menggunakan dewan sepertimana pusat pemberian vaksin yang lain tetapi kos sewaannya sangat mahal.

“(Dan) memandangkan One Hope merupakan pertubuhan amal yang mendapat dana daripada sumbangan orang ramai, maka kami perlu sangat berhati-hati dalam berbelanja.

Kerja-kerja sanitasi dijalankan bagi memastikan setiap ruang yang disediakan bersih dan selamat.

“Oleh itu, selepas berbincang dengan pihak Autocity, mereka bersetuju untuk menaja tempat ini tanpa sebarang caj sebagai tanda sokongan kepada One Hope yang telah banyak melakukan kerja-kerja amal selain telah memberikan sumbangan kepada mereka pada setiap tahun.

“Tambahan pula, lokasi ini yang seakan-akan taman semula jadi sangat sesuai untuk membuatkan penerima vaksin berasa lebih tenang dan selesa sama ada sebelum atau selepas menerima suntikan (vaksin),” katanya kepada Buletin Mutiara ketika lawatan ke lokasi berkenaan petang ini.

Pandangan dari luar.

Menurut Sui Hau, seramai 70 tenaga kerja terdiri daripada doktor, petugas kesihatan dan sukarelawan One Hope akan membantu melicinkan proses vaksinasi di pusat berkenaan yang akan mula beroperasi mulai 26 Julai ini.

“Penyediaan pusat pemberian vaksin ini mengambil masa kira-kira lima hari untuk disiapkan dengan mengambil kira aspek keselesaan kepada orang ramai.

Ruangan bergambar berlatarbelakangkan alam semula jadi turut disediakan.

“Kita (One Hope) menyediakan dua pintu masuk dan satu pintu keluar beserta empat stesen bermula dengan pemeriksaan, ruang konsultasi, empat bilik suntikan, ruang pemerhatian dan ruang bergambar.

“Malah, kita juga menyediakan laluan khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) bagi memudahkan mereka mendapatkan suntikan,” jelasnya.

Ruangan pendaftaran dan pemeriksaan suhu badan.

Dalam pada itu, beliau berharap agar inisiatif yang dilakukan One Hope akan mempercepatkan lagi program vaksinasi di negeri ini sekali gus dapat memutuskan rantaian penularan COVID-19.

“Justeru, kami ingin menasihati orang ramai agar tidak hadir ke pusat pemberian vaksin ini tanpa temu janji kerana kita tidak menyediakan kemudahan untuk ‘walk-in’.

“Semua penerima suntikan vaksin di sini adalah melalui temu janji yang ditetapkan melalui aplikasi MySejahtera untuk mengelakkan orang ramai berkumpul kerana kita mahu memastikan semua rakyat di negeri ini sihat dan selamat,” tegasnya lagi.

Difahamkan, pusat pemberian vaksin tersebut akan beroperasi setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 5 petang dengan kapasiti 360 dos sehari.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD