Operasi bersepadu, peralihan digitalisasi guna aplikasi dibangunkan JPJ

whatsapp image 2024 02 13 at 10.18.48

GEORGE TOWN – Operasi bersepadu sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dan aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu MyJPJ antara topik yang dibincangkan pada sesi kunjungan hormat delegasi JPJ Negeri Pulau Pinang ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini sebentar tadi.

Pengarah JPJ Negeri Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, operasi bersepadu musim perayaan itu berkuat kuasa mulai 1 Februari sehingga 29 Februari 2024 yang bertujuan meningkatkan tahap dan tindakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

Selain itu, menurut beliau, pihak JPJ seluruh negara juga terlibat dengan fasa peralihan digitalisasi yang mana semua urusan perkhidmatan JPJ boleh dilakukan menerusi aplikasi MyJPJ.

“Ini termasuk pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor yang mana lesen fizikal tidak lagi perlu dibawa seperti sekarang ini, hanya melalui aplikasi di telefon mudah alih sahaja.

Tujuannya adalah untuk memudahkan urusan orang awam tanpa perlu ke kaunter perkhidmatan JPJ sekali gus mengelakkan kesesakan di kaunter-kaunter JPJ.

“Namun, masih ada rungutan kerana masih ada segelintir yang mahu mendapatkan lesen fizikal,” katanya yang baru memulakan tugas berkuat kuasa 15 Januari lepas.

whatsapp image 2024 02 13 at 10.18.48 (1)
ZULKIFLY Ismail.

Zulkifly yang sebelum ini bertugas di Putrajaya, dilantik sebagai Pengarah JPJ Negeri yang baharu menggantikan Datuk Adenan Md.Isa yang bersara wajib pada 28 November 2023.

Hadir mengiringi beliau, Timbalan Pengarah JPJ Negeri, Shahrul Azhar Mat Dali; Ketua Unit Keselamatan Jalan Raya & Korporat JPJ Negeri, Shahrul Harun; Ketua Seksyen Operasi JPJ Negeri, Mohd. Nasron Aliyasak dan Pegawai Perhubungan Awam JPJ Negeri, Nurul Murni Mohammad Nor.

Terdahulu, Kon Yeow mengalu-alukan kehadiran delegasi JPJ Negeri Pulau Pinang dan membangkitkan beberapa pertanyaan berhubung bidang kuasa dan isu-isu semasa berkaitan di Pulau Pinang.

Antaranya, kekangan menyediakan pemandu bas persiaran yang mencukupi setiap kali musim perayaan, kesiapsiagaan unit peronda bermotosikal JPJ yang melakukan penguatkuasaan di kawasan dikenal pasti ‘hotspot’ dan bidaan nombor pendaftaran kenderaan terbaru, GOLD.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NURATIKAH RAHMAT