Operasi Bersepadu selamat 17 gelandangan sekitar Komtar

cb770f6f 549c 4e90 804a 4b4233bc4a6d OPERASI bersepadu menyelamat salah seorang gelandangan wanita di bawah ‘Jejantas Sotong’ dekat Komtar di sini pada malam tadi.

GEORGE TOWN – Operasi Bersepadu yang diketuai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang pada malam tadi di sekitar kawasan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) berjaya menyelamatkan seramai 17 orang gelandangan.

fbb5117d 55ca 44c9 aca3 4cdeecdd90bc
ZAKARIA Taib

Pengarah JKM negeri, Zakaria Taib berkata operasi bersepadu tersebut adalah berdasarkan Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183).

“Kita (JKM) akan selamatkan mangsa-mangsa berkenaan yang seramai 17 kes (iaitu) disyaki (sakit) mental ada empat orang, tujuh orang akan dihantar ke Pusat Transit Gelandangan (PTG), tiga orang lain akan diuruskan oleh AADK (Agensi AntiDadah Kebangsaan) sebab ada Hepatitis C (sementara) tiga lagi adalah kes sedia ada dengan AADK dan masih dalam proses saringan,” jelasnya kepada pemberita di perkarangan lobi Komtar pada 25 Oktober 2024.

Bercakap dalam dalam sidang media sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim merakamkan penghargaan kepada JKM Daerah Timur Laut, AADK, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan PDC Komtar seramai 87 anggota dan lapan kenderaan bagi menjayakan operasi bersepadu pada malam tadi.

6c109364 3ab7 4435 bdde 86c6822d3a39
LIM Siew Khim dan Teh Lai Heng (kanan) dalam sidang media bersama antara lain memuji komitmen agensi berkaitan dalam menjayakan operasi bersepadu bagi menyelamat gelandangan di sekitar Komtar di sini pada malam tadi.

“Mereka yang diselamatkan ini dibenarkan tinggal sehingga tiga minggu, atau dilonggarkan sampai sebulan di Pusat Transit Gelandangan, asalkan mereka berusaha untuk bekerja, dan selepas itu ada mereka memang minta keluar dari Pusat Transit Gelandangan kerana sudah boleh menyewa bilik.

“Biasanya mereka yang diselamatkan dibenarkan tinggal di Pusat Transit Gelandangan dua hingga tiga minggu,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang sambil memberitahu bahawa setakat ini kira-kira 100 gelandangan berjaya diselamatkan di PTG sebelum kembali ke pangkuan keluarga dan komuniti apabila telah mempunyai pekerjaan.

ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran turut sertai operasi bersepadu pada malam tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN