GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menjalankan operasi bersepadu dengan menempatkan gelandangan ke Kompleks Masyarakat Penyayang sebagai salah satu inisiatif dalam membasmi penularan wabak COVID-19 di Komtar semalam.
Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Pon berkata bahawa operasi bersepadu itu penting bagi memastikan golongan berkenaan terhindar daripada jangkitan COVID-19.
“Operasi ini dilaksanakan setelah mendapat persetujuan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk ‘selamatkan’ gelandangan-gelandangan ini.
“Kita perlu ikut semua prosedur dan protokol dalam memastikan keselamatan semua orang (daripada COVID-19) sepanjang operasi berlangsung.
“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketat, bermakna tiada siapa boleh keluar, jadi kami di sini ingin ‘selamatkan’ mereka… terima kasih juga kepada NGO (badan bukan kerajaan) yang bersama-sama memberikan makanan kepada mereka,” ujarnya pada sidang media selepas mengetuai operasi tersebut.
Operasi tersebut turut dijayakan dengan penglibatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pihak polis.
Dalam operasi berkaitan, dua doktor dari hospital swasta turut tampil membantu menyaring kesihatan para gelandangan sebelum dihantar ke pusat pemindahan.
Boon Poh dalam pada itu memberitahu bahawa pihaknya menyasarkan 72 gelandangan diselamatkan dan operasi akan diteruskan lagi di lokasi-lokasi panas sekitar George Town.
Tambahnya, di Kompleks Masyarakat Penyayang, 72 katil turut disediakan dengan jarak sosial yang selamat untuk semua gelandangan.
“Di sana (Kompleks Masyarakat Penyayang), mereka disediakan kemudahan untuk membersihkan diri, diberi bekalan makanan, menukar baju dan sebagainya sehingga PKP tamat,” jelas beliau.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING