GEORGE TOWN – Empat feri baharu untuk perkhidmatan mengangkut penumpang dan motosikal akan mula beroperasi mulai 1 Ogos ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan perkara itu dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 1 Mac 2023.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap ADUN Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Dato’ Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation, Dato’ Seri Farizan Darus turut sertai sidang media tersebut.
“Feri baharu untuk membawa penumpang dan motosikal, telah dibeli empat buah, saya tidak boleh katakan sebagai Menteri saya nak batalkan pembelian empat feri itu.
“Pada 1 Ogos (2023) nanti, feri baharu itu akan mula beroperasi,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau bagaimanapun menyatakan bahawa akan diadakan perbincangan lanjut dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang berhubung cadangan mengoperasikan semula feri ‘ikonik’.
“Feri ikonik masih ada, ia cuma tidak beroperasi sahaja dan masih ada dalam simpanan kita (Kerajaan).
“Memang kita nak mengoperasikan feri ikonik itu, tetapi apa bentuk operasi – adakah ia sebagai feri pelancongan, feri roro atau feri muzium dan sebagainya…bentuk operasi kita (Kementerian) akan bincang lebih lanjut dengan pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang,” responsnya.
Mengulas lanjut, Siew Fook memberitahu bahawa struktur terminal yang telah siap diubah suai adalah sesuai untuk pengoperasian feri baharu.
“Kita kena faham, untuk kembalikan (feri) mengangkut kereta seperti dulu, terminal yang lama itu telahpun diubah suai untuk pengoperasian (jenis) feri baharu.
“Dan, terminal feri baharu ini, tidak boleh lagi keluar masuk kenderaan jenis kereta.
“Jadi, kalau kita nak bawa balik feri (ikonik) yang boleh membawa kereta, sama ada kita (Kerajaan) nak ubah suai terminal yang sekarang ini ataupun kena bina terminal baharu,” uajrnya sambil memberitahu bahawa kementeriannya akan terus mempertimbangkan semua aspek dalam meningkatkan mutu perkhidmatan feri di negeri ini.
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa Kementeriannya juga turut diminta mempertimbangkan cadangan perkhidmatan feri roro untuk membawa kenderaan jenis kereta sahaja di negeri ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD