Operasi feri katamaran Pulau Pinang mula 7 Ogos, sebulan percuma – Menteri

Admin
CHOW Kon Yeow (kiri) merakamkan gambar kenangan bersama-sama Anthony Loke Siew Fook sebelum sesi acu pandu feri jenis katamaran baharu di Pelabuhan Swettenham, George Town pada 8 Julai 2023.

GEORGE TOWN – Feri pengangkut penumpang dan kenderaan dua tayar jenis katamaran akan mula beroperasi di negeri Pulau Pinang secara percuma selama sebulan mulai 7 Ogos ini.

ANTHONY Loke Siew Fook

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow seusai menyertai sesi acu pandu mod pengangkutan awam laut tersebut dari Pelabuhan Swettenham dekat pinggir bandar raya Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Kata Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan itu lagi, operasi feri baharu itu kelak adalah seawal 6 pagi hingga 8.30 malam dengan kadar kekerapan pada waktu puncak 30 minit sekali.

“Ini adalah feri jenis katamaran berkonsep baharu… terdiri daripada empat unit yang akan beroperasi di negeri ini.

“Pada satu-satu masa, feri ini boleh membawa seramai 150 penumpang dan 50 kenderaan (jenis) motosikal dan basikal,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di sini pada 8 Julai 2023.

Menjawab soalan pemberita, Siew Fook menyatakan bahawa soal kadar tambang akan ditetapkan kemudian selepas perbincangan lanjut yang melibatkan firma bukan milikan kerajaan, Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB).

Tambah beliau, peringkat kementerian akan berusaha untuk meluaskan penggunaan kad Mutiara yang khusus kepada penggunaan bas pengantara RapidPenang, untuk kegunaan feri baharu milikan PPSB.

Dalam perkembangan berkaitan, Siew Fook turut mengesahkan bahawa Kerajaan Persekutuan telahpun menyalurkan peruntukan sebanyak RM30 juta, sementara RM50 juta lain dibiayai PPSB, untuk pengoperasian mod feri pengangkut penumpang tersebut dua hala, dari Pengkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth ke Pelabuhan Swettenham, George Town.

Pengoperasi dari Pengkalan Raja Uda, George Town akan kembali seperti biasa selepas ini, seusai siap projek renovasi berwajib.

GAMBAR barisan pemimpin negeri yang menyertai sesi acu pandu feri jenis katamaran baharu bersama-sama Menteri tadi.

Beberapa Exco ‘Caretaker’ Kerajaan Negeri turut menyertai lawatan bersama-sama Siew Fook dan Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Exco Pengangkutan dan Infrastruktur, Zairil Khir Johari; Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Pendidikan; mantan ADUN Air Putih, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan; mantan ADUN Komtar merangkap mantan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Teh Lai Heng dan mantan ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen antara pemimpin Kerajaan Negeri yang turut menyertai sesi acu pandu feri jenis katamaran baharu itu.

GAMBAR luaran salah sebuah feri jenis katamaran baharu yang akan mula beroperasi di Pulau Pinang mulai 7 Ogos depan.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa feri baharu jenis katamaran buatan Haiphong, Vietnam, setiap satu berharga RM18 juta.

Mula berlabuh di perairan dekat Butterworth pada Rabu lepas, keempat-empat feri baharu itu diberi nama Teluk Kumbar, Teluk Bahang, Teluk Duyung and Teluk Kampi.

Feri jenis katamaran baharu itu mempunyai ciri-ciri tertentu seperti fungsi pusingan 360 darjah, perjalanan dwi hala tanpa perlu memusingkan fizikal feri, dilengkapi ‘ramp’ pada kedua-dua hala pintu keluar masuk, kamera litar tertutup (CCTV), sistem pencegahan kebakaran serta reka bentuk sejagat mesra pelbagai gender termasuk orang kurang upaya (OKU).

Tempoh acu pandu bagi feri baharu tersebut adalah selama empat bulan sebelum diberi pentauliahan berwajib.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI