Operasi pembenihan awan bergantung kepada cuaca, pembentukan awan

Admin

GEORGE TOWN – Operasi pembenihan awan yang dijadualkan antara 29 April hingga 7 Mei 2023 bergantung kepada pelbagai faktor terutama keadaan cuaca semasa dan pembentukan awan.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, cadangan menjalankan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air di Pulau Pinang pada akhir bulan ini bergantung kepada kesesuaian cuaca bagi memastikan proses penghasilan hujan berjaya.

 

“(Butiran) mengenai cadangan operasi pembenihan awan telah dinyatakan melalui siaran media oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada 25 April lalu.

 

“Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan cuaca di kawasan tadahan (air) berkenaan, sekiranya tiada pembentukan awan di kawasan tersebut maka operasi ini tidak dapat dijalankan,” ujar Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu pada sidang media yang diadakan di Komtar tengah hari ini.

 

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Berhad dan PBAPP, Ir. K. Pathmanathan melalui siaran media memberitahu bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengesyorkan 29 April hingga 7 Mei ini untuk menjalankan gelombang pertama operasi pembenihan awan.

 

Operasi yang bakal dijalankan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu bertujuan untuk mendorong hujan lebat di kawasan tadahan air di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang bagi mengisi semula kedua-dua empangan tersebut.

 

Dilaporkan juga bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan bajet RM400,000 bagi membiayai operasi pembenihan awan ini.

 

Pada 25 April lalu, kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang telah menyusut sebanyak 37.7 peratus dan 15.4 peratus masing-masing sejak 1 Januari 2023.

 

Hal ini ekoran taburan hujan yang rendah akibat perubahan iklim di kawasan tadahan air serta permintaan air yang tinggi di negeri ini untuk tahun 2023. Pada masa sama, PBAPP berharap para pengguna air domestik di negeri ini dapat memainkan peranan dengan menggunakan air secara berhemat sehingga kedua-dua empangan diisi semula ke tahap selamat.

 

Sehingga jam 2 petang hari ini (27 April), kapasiti Empangan Air Itam adalah pada tahap 44.4 peratus dan Empangan Teluk Bahang pula 48.7 peratus.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN