GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil inisiatif melaksanakan operasi tangkapan secara berkala empat kali seminggu bagi mengawal populasi burung merpati.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye, setakat ini sebanyak 88 operasi telah dijalankan dengan 11 kompaun telah dikeluarkan.
“Manakala bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pula, tindakan penguatkuasaan iaitu mengeluarkan Notis Tentang Kesalahan (NTK) terhadap pemberi makanan burung atau bird feeder turut dilaksanakan sebagaimana yang dilaksanakan oleh MBPP di sini,” ujarnya pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 27 November 2024.
Kenyataan tersebut juga, sekali gus menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong dan ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng berhubung isu koloni burung merpati yang memberi ancaman terhadap kesihatan manusia dan kebersihan tempat awam.
Mengulas lanjut, Mooi Lye memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bersama-sama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan terus berganding bahu untuk memastikan isu berkaitan dapat ditangani secara cermat, holistik dan berkesan melalui pelbagai inisiatif.
Kita (Kerajaan Negeri) juga akan mempergiat usaha untuk meningkatkan kesedaran awam melalui program pendidikan dan pengedaran risalah yang menggalakkan masyarakat umum supaya tidak memberi makan kepada burung merpati.
“(Hal ini) sekali gus memastikan kawasan kita terus terjaga kebersihannya,” kata ADUN Jawi itu lagi.
Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI