Ops bersih tutup 17 kedai tomyam – Exco

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – 17 kedai tomyam dari 28 premis makanan yang diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Negeri baru-baru ini diarah tutup kerana tidak mematuhi piawaian kesihatan negeri.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, operasi tersebut sebagai langkah pencegahan demi mengelak pelanggan terdedah pada keracunan nanti.

“Melalui pemeriksaan yang dilakukan terdapat pelbagai kes kebersihan, antaranya bau kencing tikus, kehadiran tikus dan anak-anak lipas, tahi tikus, dan penggunaan makanan di dalam tin yang berkarat,” ujar Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya menerusi emel kepada Buletin Mutiara.

Beliau berkata, kelulusan operasi semula perniagaan akan dikeluarkan sekiranya jabatan berpuas hati dengan tahap kebersihan di premis-premis berkenaan.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, pihaknya senada dengan Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 mengikut Akta Peraturan Kebersihan Makanan 2009 ke atas semua premis makanan yang didapati tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

Inisiatif itu sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri dalam merealisasikan kempen Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.