Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
TELUK BAHANG – Bermula Januari hingga 12 April lalu, sebanyak 582 kes denggi dilaporkan di negeri ini berbanding hanya 200 kes bagi tempoh sama tahun lalu (2013).
Angka tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 382 kes iaitu 191 peratus. Malah, tiga kematian dilaporkan pada tahun ini berbanding tiada kematian bagi tempoh sama tahun lalu.
Lanjutan itu, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin melancarkan Ops Gempur Aedes dan
Ops Gempur Tapak Binaan di beberapa kawasan termasuk di Teluk Bahang khususnya di Kampung Teluk Awak di sini.
“Kawasan binaan berhampiran dan perkampungan di sini dipercayai menjadi antara lokasi yang menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes.
“Selain tempat takungan dan simpanan air, kawasan binaan di Jalan Hassan Abas juga dikenalpasti sebagai kawasan berpotensi menjadi tempat
pembiakkan nyamuk,” katanya sejurus selepas menyertai ops gempur di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, antara langkah awal yang telah dilaksanakan ialah dengan meletakkan ‘abate‘ di tempat-tempat takungan air dan semburan kabus (fogging).
“Walau bagaimanapun, berlaku kekangan untuk melakukan semburan kabus kerana kebanyakan penduduk di Kampung Teluk Awak membela burung sangkar.
“Di sini sahaja, terdapat lebih 30 kes dilaporkan dengan 17 daripadanya adalah positif denggi dan kita (Kerajaan Negeri) telah melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang perlu.
“Malah, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) juga telah mengeluarkan notis pelaksanaan kerja-kerja pembersihan dua minggu sebelum pelaksanaan
penguatkuasaan,” jelas Afif.
Tambah beliau, menerusi Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 (Pindaan 2000), di bawah Seksyen 8, penghuni atau pemilik premis dikehendaki menjalankan kerja pembersihan dan memusnahkan punca pembiakan nyamuk aedes.
“Sekiranya gagal, penghuni dan pemilik premis boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sehingga ke hari ini, telah banyak notis dikeluarkan dan hanya satu kompaun dikeluarkan berikutan peningkatan kes tertinggi di Pulau Pinang.
“Malah, kita (Kerajaan Negeri) juga ada mengadakan taklimat kepada kontraktor, penduduk kampung, komuniti perumahan taman dan premis-premis perniagaan supaya terus mengambil langkah pencegahan bagi menghentikan penularan denggi,” ujarnya yang turut ‘turun padang’ bersama kira-kira 50 petugas JKN dan Pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya dalam operasi berkenaan.
Dalam pada itu, Afif turut meminta penghuni rumah dan pemilik premis untuk memberi kerjasama dengan membenarkan anggota kesihatan menjalankan semburan kabus di dalam rumah, selain meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) menjalankan gotong-royong bagi menghapuskan tempat-tempat berpotensi pembiakan nyamuk aedes.
“Orang ramai juga diminta segera mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan atau hospital sekiranya mengalami demam lebih dari tiga hari
dan tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit badan dan sendi, muntah, ruam dan kurang selera makan,’’ seru beliau.