SUNGAI PINANG – Kerajaan Negeri melancarkan Kempen Respek Ramadan semalam dengan objektif utama adalah untuk meningkatkan kesedaran dan penghayatan umat Islam terhadap kemuliaan bulan Ramadan.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, kempen tersebut juga bertujuan untuk melaksanakan langkah pencegahan melalui penguatkuasaan undang-undang syariah.
“Pemantauan dan rondaan harian akan dijalankan menerusi ‘Ops Plastik Hitam’ dengan penumpuan pada 90 lokasi hangat (hotspot) di seluruh negeri Pulau Pinang.
“Dua operasi bersepadu turut dirancang dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK); Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Pulau Pinang di kawasan yang dikenal pasti berdasarkan aduan.
“Selain penguatkuasaan, program advokasi ini turut dilaksanakan dengan edaran poster kempen ke semua masjid di Pulau Pinang; slot tazkirah ringkas sebelum solat Jumaat di Masjid Negeri dan masjid daerah serta ceramah oleh pegawai penguatkuasa agama,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Kempen Respek Ramadan di Masjid Al-Bukhary Sungai Pinang di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu bahawa dalam konteks penguatkuasaan, Pegawai Penguatkuasa Agama JHEAIPP bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996, khususnya berkenaan dengan kesalahan tidak menghormati Ramadan Seksyen 15), tidak membayar zakat fitrah (Seksyen 16) dan pungutan zakat diberi kuasa oleh Majlis (Seksyen 33).
“Mana-mana orang Islam yang didapati melakukan kesalahan berkaitan ibadah puasa boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua- duanya sekali,” jelasnya.
Sebagai rekod, sepanjang Ramadhan tahun 2024, seramai 72 individu telah ditangkap kerana kesalahan tidak berpuasa pada siang hari.
Serentak pelancaran, turut diadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai bersama-sama anak-anak kariah Sungai Pinang.