‘Opsyen PBAPP’ akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Exco, respons Ketua Menteri

a09acf88 4189 44ad 94d3 92c429fc78bf KETUA Menteri (tengah) semasa melawat tapak projek pembinaan paip lencong sementara merentasi atas Sungai Perai di sini menjelang malam tadi (23 Januari 2024) turut diberi taklimat ringkas oleh K. Pathmanathan (dua dari kiri) mengenai salah satu opsyen PBAPP iaitu memasang pendakap pada bahagian paip bocor di dasar sungai itu yang akan mengambil masa antara 24 jam hingga 48 jam.

SUNGAI DUA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap projek pembinaan paip lencong sementara merentasi atas Sungai Perai yang sedang dilaksanakan kini dapat dipercepatkan dalam tempoh lima atau enam hari.

Pada masa sama, beliau menyatakan bahawa pasukan pakar penyelam akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan projek pemasangan pendakap pada bahagian paip bocor di dasar sungai itu, sama ada boleh disiapkan dalam tempoh antara 24 jam hingga 48 jam atau sebagainya.

“Opsyen mana yang akhirnya diguna pakai, ianya memerlukan kerja-kerja wajib sebelum kita tentukan yang mana terbaik bagi menyegerakan (proses) pemulihan bekalan air kepada 120,000 akaun di Daerah Barat Daya,” jelasnya semasa melawat tapak projek pembinaan paip lencong sementara di Sungai Perai dekat sini pada 23 Januari 2024.

Turut serta, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan.

692b7241 0af2 40c4 b6e7 919f1070243a
DI Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua pada malam tadi (23 Januari 2024), Ketua Menteri (dua dari kanan) diiringi Zairil Khir Johari (paling kanan) turut diberikan taklimat ringkas oleh K. Pathmanathan (paling kiri) mengenai dua ‘opsyen PBAPP’ berkaitan untuk dimuktamadkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri nanti.

Sebelum itu, Kon Yeow bersama-sama Zairil mengadakan menyuarat tertutup dengan ‘pasukan’ Pathmanathan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bagi membincangkan beberapa opsyen bagi menangani insiden paip bocor di dasar Sungai Perai.

Kon Yeow memberitahu bahawa opsyen-opsyen yang disyorkan PBAPP itu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, esok.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS