Orang ramai dipelawa sertai APUF7, kaunter pendaftaran dibuka sehingga 30 September

GEORGE TOWN – Orang ramai khasnya kakitangan yang bekerja di Pusat Pentadbiran Kerajaan di Bangunan KOMTAR dipelawa mendaftarkan diri sebagai peserta bagi persidangan 7th Asia-Pacific Urban Forum (APUF7) yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober 2019.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, forum antarabangsa yang julung kali diadakan di Pulau Pinang itu, bakal disertai wakil-wakil dari 53 buah negara anggota yang terdiri daripada orang berkepentingan, ahli akademik, pakar perbandaran, badan kerajaan dan bukan kerajaan serta orang awam.

JAGDEEP Singh Deo (duduk) berkesempatan mencuba pendaftaran secara dalam talian di kaunter khas di Ruang Legar Tingkat 3 dekat sini, pagi ini.

 

“Saya amat berbangga kerana Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah dipilih sebagai ‘host city’ bagi penganjuran persidangan antarabangsa tersebut dan menjangkakan sehingga 5,000 penyertaan dari negara-negara Asia Pasifik.

 

“Oleh itu, saya menyeru orang ramai terutama kakitangan kerajaan untuk mendaftarkan diri sebagai peserta, saya percaya melalui perkongsian ilmu sepanjang penganjuran APUF7 akan memanfaatkan para peserta.

 

“(Dan) bagi memudahkan proses pendaftaran, kaunter pendaftaran dibuka di Ruang Legar Tingkat 3, berhadapan pintu masuk MBPP bermula hari ini sehingga 30 September 2019,” ujarnya pada majlis pembukaan kaunter berkaitan di sini pagi ini.

 

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali serta Ketua-Ketua Jabatan dan wakil dari MBPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

 

Mengulas mengenai penganjuran APUF7, Jagdeep berkata, persidangan tersebut adalah anjuran bersama United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacifics (UN-ESCAP), United Nations Human Settlements Programme (UN-Habitat), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Urbanise Malaysia.

AR. Yew Tung Seang (empat dari kiri) bersama-sama kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang bergambar kenangan di papan kira detik di hadapan kaunter pihak berkuasa tempatan berkenaan, Tingkat 3, pagi ini.

 

“Persidangan tersebut akan memberi fokus kepada empat aspek utama, iaitu Urban Territorial Planning; Urban Resilience, Data and Technology for Smart Cities dan Urban Finance.

 

“Penganjuran persidangan ini juga seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa dengan memastikan pembangunan yang mampan dan memberi faedah kepada semua golongan rakyat di negeri ini.

 

“Sekali lagi, saya mempelawa orang ramai khasnya kakitangan di KOMTAR untuk tidak melepaskan peluang ini dan mendaftarkan diri sebagai peserta persidangan APUF7 secepat mungkin,” serunya sambil menzahirkan penghargaan kepada MBPP selaku ‘host city’ APUF7.

 

Difahamkan, APUF7 akan diadakan di Pusat Konvensyen Setia SPICE di Bayan Lepas pada 15 hingga 17 Oktober ini. Selain persidangan, turut diadakan acara berbasikal, The Cycling Mayors, Youth and Women Assemblies dan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan 2019 pada 14 Oktober 2019.

 

Acara berbentuk karnival, Potpourri of Penang Carnival yang menampilkan kepelbagaian dan diversiti budaya di Pulau Pinang turut akan diadakan pada 17 Oktober 2019.

 

Jom sertai APUF7..!

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN