‘Outreach’ JBG hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk lokal

Admin
whatsapp image 2024 07 05 at 10.34.19

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat delegasi dari Jabatan Bantuan Guaman (JBG) yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi di Komtar pagi ini.

Mengiringi Norazmi ialah Timbalan Ketua Pengarah (Sivil), Arleen Ramly; Timbalan Ketua Pengarah (Syariah), Zaim Md. Yudin; Pengarah JBG Kedah, Mohd. Zaki Abd. Rahman; Pengarah Pengantaraan (Syariah), Siti Salwa Mohd. Nor; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Mohd. Ajmi Osman dan Pegawai Syariah JBG Negeri, Mohamad Al Hafid Ismail.

Dalam pertemuan itu, Norazmi memaklumkan kepada Kon Yeow berhubung program Taklimat Pengenalan JBG kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang berlangsung hari ini di Komtar.

Menurut beliau, program yang julung kali diadakan itu adalah bertujuan untuk memaklumkan kepada umum mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan melalui JBG yang telah ditubuhkan sejak 54 tahun lalu.

Selain itu, Norazmi juga berkongsi mengenai fungsi JBG yang menawarkan khidmat nasihat, khidmat bantuan guaman, khidmat pengantaraan dan khidmat pendamping guaman.

Turut disentuh adalah mengenai program ‘outreach’ yang dianjurkan oleh JBG sama ada secara kerjasama dengan pelbagai pihak mahupun secara lokal.

Sebagai rekod, JBG merupakan salah satu agensi di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri yang mana dahulunya dikenali sebagai Biro Bantuan Guaman.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD