P. Pinang bangga sumbang khidmat kesihatan negara

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Pulau Pinang amat berbangga kerana berjaya memberi sumbangan amat besar sehingga negara sekali lagi telah dinobatkan di tangga ketiga terbaik selepas Perancis dan Uruguay sebagai salah sebuah destinasi mendapatkan perkhidmatan kesihatan terbaik dunia tahun 2014.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Afif memberitahu, sektor pelancongan kesihatan adalah antara cabang berpotensi melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan terhadap sektor ini.

“Pengiktirafan ini membuktikan sekali lagi bahawa Pulau Pinang adalah destinasi terbaik untuk kesihatan di rantau ini,” katanya di baru-baru ini.

Kerajaan Negeri, nyata Afif, akan terus berkerjasama dengan pihak swasta dan Jabatan Kesihatan Negeri melalui Penang Health Alliance untuk memastikan tahap kualiti perkhidmatan berkenaan dikekalkan.

“Lebih banyak perancangan akan dilaksanakan untuk memantapkan perkhidmatan kesihatan di Pulau Pinang sejajar dengan komitmen kita (Kerajaan Negeri) dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Bandaraya Perubatan (Medical City) bertaraf antarabangsa,” jelas beliau.

Dalam artikel di laman sesawang International Living bertarikh 5 Januari lalu, Malaysia telah disenaraikan di tangga ketiga sebagai salah sebuah negara terbaik untuk bersara dan mendapatkan perkhidmatan kesihatan di dunia melalui ‘The World’s Best Places to Retire in 2014’ dan ‘ The Best Place to Retire Overseas for Affordable and Efficient Health Care’.

Diimbas semula, Malaysia telah tersenarai sebagai destinasi terbaik persaraan dan perkhidmatan kesihatan sejak tahun 2011 dan Pulau Pinang disebut-sebut sebagai negeri paling ramai menerima kemasukan pelancong yang ingin mendapatkan perkhidmatan kesihatan di negara ini.