Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
GEORGE TOWN – Pulau Pinang menyumbang dua pertiga daripada pendapatan pelancongan perubatan dalam negara,” kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Kemudahan Klinik Osel oleh GeneNews Diagnostik di sini baru-baru ini.
Katanya, statistik Persatuan Kesihatan Pulau Pinang mendedahkan bahawa pendapatan pelancongan perubatan negeri ini meningkat kira-kira 14 peratus pada tempoh dua tahun iaitu 2012 dan 2013.
“Jumlah keuntungan yang dicatatkan pada tahun 2012 adalah sebanyak RM320 juta, manakala RM370 juta (2013).
“Bagi jumlah pelancong kesihatan, ia mencatatkan kemasukan 297,850 pelancong pada tahun 2012 dan 351,673 (2013),” jelas beliau. Klinik Osel (Osel) adalah sebuah butik perubatan unik memfokuskan kesihatan, diagnostik dan perubatan regeneratif yang menawarkan pemeriksaan menggunakan teknologi canggih.
R&D yang dijalankan Osel bakal membolehkan proses saringan dilakukan dengan berkesan dan mampu mewujudkan satu platform yang mana penyakit dapat dikesan sebelum ianya dihidapi oleh seseorang.
Hadir sama ke majlis berkaitan, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Pengerusi GeneNews Diagnostik merangkap Ketua Penyelidikan Sains Osel, Profesor Datuk C. C. Liew dan Presiden Persatuan Wu Lien Teh, Datuk Dr. Anwar Fazal.
Menurut Guan Eng, pembukaan Osel adalah bertepatan dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai hab nombor satu destinasi pelancongan perubatan dalam negara.
“Pulau Pinang kini boleh berbangga apabila memimpin dari segi pelancongan perubatan di Malaysia.
“Untuk menjadi sebuah bandaraya pintar pelancongan perubatan, kita (Pulau Pinang) mesti berupaya menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia dan hari ini kita (Pulau Pinang) telah mengambil satu langkah lebih dekat dengan matlamat tersebut.
“Dengan adanya fasiliti seumpamanya di sini bersama-sama dengan gabungan doktor, saintis dan ahli akademik, ia mampu menyumbang kepada kemajuan masa depan perubatan dalam meramal dan mencegah penyakit berbahaya,” ujar beliau.if (document.currentScript) {