BAYAN BARU – Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Ong Kok Fooi menyatakan bahawa ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka secara efektif bukan sahaja mampu mencegah kematian di peringkat neonatal (bayi yang berusia bawah satu bulan), malah, juga mampu memberi nutrien diperlukan.
Katanya, susu ibu merupakan pemakanan asas dan optimum bagi bayi, ibu sewajarnya tahu akan kepentingan, hak serta sokongan berkaitan penyusuan susu ibu.
“Penyusuan kini dianggap sebagai ketinggalan zaman dan sering dipandang enteng. Namun, kandungan susu ibu jauh lebih baik jika dibandingkan susu formula bayi yang terdapat di pasaran.
“Justeru, maklumat tentang tatacara penyusuan yang betul adalah perlu terutama kepada ibu-ibu muda berkerjaya.
“Persekitaran penyusuan juga harus ditingkatkan bagi memberi keselesaan kepada ibu dan bayi,” ujarnya ketika merasmikan sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2012 di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah The World Alliance for Breastfeeding Action (WABA) Pulau Pinang, Sarah Amin; Pengerusi Mother-to- Mother Peer Support (MMPS), Deborah Lee, Koordinator Projek ‘Make Penang Breastfeeding Friendly’, Connie Mooi, wakil-wakil dari WABA, wakil-wakil MMPS dan wakil-wakil media tempatan.
Bersempena sambutan tersebut, pelbagai aktiviti turut dijalankan antaranya, penyususan beramai-ramai oleh pasangan ibu dan bayi selama 1 minit, cabutan bertuah, permainan interaktif, pertandingan bayi cergas dan cerdas, pertandingan ibu bapa dan bayi serasi serta pelbagai lagi.
Bertemakan Understanding the Past, Planning for the Future’, sambutan tahun ini bukan sahaja memberi penekanan kepada generasi muda berkenaan penyusuan susu ibu, malah, juga bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri Mesra Penyusuan Susu Ibu (Make PenangBreastfeeding Friendly).