P. Pinang negeri pertama pasang AED di tempat awam

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF & AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN LEPAS – Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan pemasangan 10 unit alat peranti Automated External Defribillator atau AED di tempat awam terpilih di negeri ini bagi membantu mangsa serangan jantung atau cardiac arrest.

Sebagai permulaan, alat itu akan dipasang secara berperingkat di 10 tempat awam terpilih di bawah inisiatif program ‘Penang Heart Safe’.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah terbaik dan terpantas bagi membantu menyelamatkan mangsa serangan jantung adalah melalui teknik ringkas seperti CPR (cardiopulmonary resuscitation atau resusitasi kardiopulmonari) dan penggunaan alat AED.

“Dalam kes-kes kecemasan, khususnya serangan jantung, lagi pantas anda bertindak lagi baik untuk membantu menyelamatkan nyawa mangsa, kalau dapat menyelamatkan satu nyawa pun berbaloi,” katanya selepas Majlis Pelancaran Alat AED sempena Program Penang Heart Safe di Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail; Pengarah Perkhidmatan Perbandaran, Kesihatan Awam dan Pelesenan MBPP, Dr. Judy Shoba dan Ahli Majlis MBPP, Joseph Ng Soon Siang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Mior Faridalatrash Wahid dan Konsultan Anastasia Hospital Pulau Pinang (HPP), Dr. Luah Lean Wah turut hadir pada majlis berkaitan.

Guan Eng dalam pada itu, berharap agar orang ramai dapat memanfaatkan penggunaan alat AED dan memelihara alat berkenaan dari sebarang perilaku vandalisme.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan terus melaksanakan programprogram pendidikan dan latihan berhubung rawatan kecemasan teknikal dengan menggunakan AED kepada umum dari masa ke masa dan berharap ia berbaloi selaras dengan usaha menjadikan Pulau Pinang negeri bertaraf antarabangsa dan pintar serta menitikberatkan aspek bersih, hijau, sihat dan selamat,” ujarnya.

Difahamkan, Kerajaan Negeri membelanjakan RM41,340 untuk membeli lima unit AED, manakala lima unit lagi disumbangkan oleh sebuah syarikat korporat, ZOLL Medical Corporation sebagai sebahagian dari inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Sehingga Februari 2016, sebanyak empat unit AED telah dipasang masing-masingnya di Tingkat 3, Bangunan Komtar; Kompleks Ibu Pejabat MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) di Bandar Perda, Seberang Jaya; Taman Bandaraya Pulau Pinang (dahulu dikenali sebagai Taman Belia) dan Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong.

Antara lokasi lain yang dikenal pasti termasuklah, Taman Botani, Persiaran Gurney, Persiaran Padang Kota Lama (Timur Laut) dan dua kompleks sukan di Jalan Betik, Seberang Jaya (Seberang Perai Tengah, SPT) dan di Bertam, Seberang Perai Utara (SPU).

if (document.currentScript) {