Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Anak autistik turut mempunyai potensi untuk mengikuti sekolah aliran perdana seperti murid-murid lain sekiranya mendapat intervensi awal serta proses transisi pembelajaran seperti yang dilakukan di Persatuan Sumber dan Pendidikan Bagi Kanak-Kanak Autistik Pulau Pinang (REACH).
Justeru, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin mencadangkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membangunkan sekolah khas untuk kanak-kanak autistik seperti yang diperjuangkan REACH.
“Anak-anak autistik ini sebenarnya mempunyai potensi untuk berdikari jika mendapat intervensi awal serta proses tansisi seperti yang dilakukan di sini (REACH).
“Saya berharap Kementerian dapat memikirkan keperluan untuk mewujudkan sekolah khas untuk anak-anak (autistik) ini kerana mereka juga adalah aset negara, bukannya liabiliti,” ujarnya pada majlis penyampaian sumbangan kepada REACH di sini baru-baru ini.
Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya disambut oleh Ketua Sukarelawan REACH, Prof. Dr. See Ching Mey.
Dalam lawatan kerja itu, beliau turut melahirkan penghargaan kepada REACH kerana berjaya menyediakan program pembelajaran khusus untuk mencungkil potensi kanak-kanak autistik supaya mampu menikmati hak pembelajaran sebagaimana kanak-kanak normal di sekolah aliran perdana.
Satu laporan arus perdana dipetik, sehingga Mac tahun ini, kira-kira 3,264 murid didaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) di 925 sekolah di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, dianggarkan, lima peratus adalah kanak-kanak autistik.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam laporan sama mencadangan supaya 75 peratus sekolah aliran perdana di negara ini melaksanakan program integrasi berwajib.
Badan bukan kerajaan (NGO) REACH dekat Pulau Pinang dikatakan antara terbaik, selain pusat seumpamanya untuk kanak-kanak autistik di Kuala Lumpur dan Johor.
Bagaimanapun, sekolah khas untuk kanak-kanak autistik difahamkan masih tiada di Pulau Pinang, sungguhpun golongan tersebut juga sebenarnya berhak menikmati intervansi awal dan proses transisi pembelajaran seperti kanak-kanak normal lain di negara ini.