OLEH : WATAWA NATAF ZULKIFLI
DATOK KERAMAT – Setelah kemarau piala selama 10 tahun, pasukan bola sepak Pulau Pinang kini kembali bergelar ‘Sang Juara’ apabila menewaskan Tumpat FC, 2-0 pada perlawanan ke-17 Liga FAM di Stadium Bandaraya di sini baru-baru ini.
Kemenangan ini cukup bermakna buat pasukan Pulau Pinang, apabila ia telah menjamin kejuaraan tanpa perlu menunggu baki tiga perlawanan liga akan datang.
Jurulatih Pulau Pinang, Merzagua Abderrazak yang menjadi nadi pasukan selama ini merupakan antara individu paling gembira atas langkah pertama dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri dalam negara.
“Saya mengucapkan syukur alhamdullilah atas kejayaan ini dan berterima kasih kepada semua pihak dan para peminat yang tidak jemu memberi sokongan padu kepada anak buah saya dari peringkat awal liga hingga sekarang.
“Sekurang-kurangnya saya Berjaya mencapai matlamat diri saya iaitu kembali ke Pulau Pinang untuk menaikkan semula martabat bola sepak negeri ini,” ujarnya dalam temubual sebaik sahaja tamat perlawanan di sini baru-baru ini.
Pada perlawanan yang sudah memberi gambaran kemenangan pasukan Pulau Pinang, tuan rumah berjaya di depan apabila jaringan sendiri oleh pertahanan Tumpat FC sebelum penyerang Pulau Pinang, Elias Sulaiman menambah gol kedua pada minit ke 85 permainan. Piala dan replika cek sebanyak RM 50,000 disampaikan sendiri oleh Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas.
Bagi rekod, kemenangan tersebut merupakan piala ke-16 Pulau Pinang secara keseluruhan penglibatan dalam kancah bola sepak Malaysia.
Atas kejuaraan tersebut juga Pulau Pinang layak meneruskan aksi 2014 di liga utama, Liga Perdana yang lebih kompetitif dan menjanjikan saingan hebat.
Turut hadir meraikan kemenangan bersejarah tersebut, Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng.