P. Pinang tak import ayam dari Kelantan, elak risiko wabak selesema burung – Exco

Admin

PINANG TUNGGAL – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu bahawa Pulau Pinang langsung tidak mengimport hasil ternakan ayam dari Kelantan yang baru-baru ini terdedah kepada risiko wabak selesema burung (H5N1).

“Pulau Pinang memang tak import ayam dari Kelantan, tapi lebihan hasil ternakan ayam di negeri ini memang dieksport ke luar dari Pulau Pinang, termasuk ke Kelantan.

“Jadi, rakyat Pulau Pinang tidak perlu risau kerana jaminan keselamatan makanan ayam dalam pasaran Pulau Pinang bukan sahaja cukup daripada segi kuantiti, malah juga kualiti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada Majlis Agihan Vaksin FMD Babi Kepada Para Penternak dekat Kampung Selamat di sini baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Negeri, Dr. Siti Salmiyah Tahir turut berucap pada majlis tersebut, malah pegawainya, Dr. Choo Li Chen sebelum itu memberikan penjelasan lanjut mengenai Enakmen Penternakan Babi 2016 kepada para penternak.

Mengulas lanjut, Afif memberitahu, sektor ternakan babi di Pulau Pinang juga boleh terjejas seperti sektor ternakan ayam di Kelantan, jika tidak melaksanakan peladangan secara moden.

“Empat kriteria modern pig farming yang telahpun digariskan, iaitu, sistem penternakan babi secara tertutup; mempunyai kawasan penampan; zero discharge dan good animal husbandry practices (GAHP).

“Dengan adanya enakmen ini, diharapkan industri penternakan babi di Pulau Pinang akan terus berkembang dan masalah berkaitan pencemaran bau serta kacau ganggu lalat dapat dikurangkan,” ujarnya sambil menyatakan bahawa enakmen baharu itu akan dikuatkuasakan pada 2019.

Justeru, Afif menasihatkan semua penternak babi supaya menyegerakan pelaksanaan kaedah peladangan moden masing-masing, demi mengelak risiko wabak yang ketika ini menjejaskan pendapatan penternak ayam di Kelantan.

“Di Malaysia, hanya Pulau Pinang sahaja yang memberikan vaksin FMD Babi secara percuma.

“Bagaimanapun, kes positif FMD Babi telah dikesan dari tujuh ladang di Kampung Valdor pada penghujung tahun 2016.

“Justeru, saya sekali lagi ingin menasihatkan supaya semua babi diberi vaksin dua kali setahun agar ada cukup daya tahan melawan atau menghalang penyakit FMD daripada terjangkit,” serunya.

Pada tahun 2017, difahamkan, Kerajaan Negeri mengeluarkan peruntukan sejumlah RM196,330 untuk agihan 677 botol vaksin FMD kepada para penternak berwajib meliputi kelima-lima daerah di negeri Pulau Pinang.