P. Pinang tidak amal caj Pelarasan Deposit air seperti Kedah

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Caj Pelarasan Deposit setinggi RM35 untuk tujuan pemotongan atau penyambungan semula bekalan air bersih yang dikuatkuasa oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Kedah tidak akan diamalkan di negeri ini.

Malah, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sama sekali tidak akan bersetuju dengan kenyataan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Badrol Hisham
Hashim yang berkata pelaksanaan caj Pelarasan Deposit diamalkan di seluruh negara.

“Saya ingin menegaskan di sini, ini (caj Pelarasan Deposit setinggi RM35) tidak diamalkan di Pulau Pinang,” tegasnya yang juga Pengerusi PBAPP kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Kedah, Tan Kok Yew (Derga) dan Teoh Boon Kok (Kota Darul Aman) turut menyertai sidang media itu.

Menurut Guan Eng, cadangan Badrol yang juga ADUN Kuala Nerang hanya menambahkan lagi beban kos sara hidup rakyat di
Kedah.

“Sekiranya kena potong air atau tidak mereka akan kutip terlebih dahulu duit tersebut (RM70).

“Ini bermakna ia dikira sebagai wang pendahuluan tanpa faedah dan boleh simpan juta-juta tanpa faedah,” tegas beliau yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Justeru, Guan Eng memberitahu, PBAPP masih mengekalkan polisi sedia ada, iaitu tiada apa-apa caj dikenakan untuk proses pemotongan bekalan air, manakala, RM10 untuk proses penyambungan semula kemudahan utiliti tersebut.

Sebelum itu, Kok Yew turut mempersoal amalan terbaru Kerajaan Negeri Kedah terbabit.

“Jangkaan kutipan akan meningkat kerana terdapat hampir 540,000 akaun pengguna.

“Ini adalah tidak patut, mengapa mereka (Kerajaan Negeri Kedah) nak ambil deposit ini…untuk apa kerajaan nak simpan duit ini,” ujar Kok Yew.

Difahamkan, caj Pelarasan Deposit yang diamalkan di Kedah adalah berdasarkan Kajian Semula Deposit di bawah Peraturan 4,
Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air (deposit, fi dan caj perkhidmatan air) 2014, berkuatkuasa di negeri berkenaan
mulai 1 Februari lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri terus memenuhi impian rakyat Pulau Pinang menikmati tarif air terendah berbanding negeri-negeri lain, iaitu pada kadar RM0.31 bagi setiap 1,000liter padu untuk 35,000 liter pertama.

Pengguna di negeri ini akan terus menikmati tarif air pada kadar terendah, manakala surcaj yang akan ditanggung oleh pembazir bekalan air bersih sahaja.