GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menubuhkan badan bertindak demi membantu kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS) yang menerima surat pemberhentian kerja bagi mendapatkan pekerjaan baru di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, badan bertindak yang ditubuhkan di bawah Career Assistance and Talent Centre (Penang CAT) tersebut turut menawarkan khidmat nasihat guaman secara sukarela kepada mereka yang berhasrat untuk mendapatkan pembelaan sebagai pekerja di mahkamah.
“Ini, sama ada untuk memastikan hak mereka terus terjamin atau untuk mencari pekerjaan lain di negeri ini supaya mereka boleh terus menyara keluarga masing-masing.
“Tentulah pekerja-pekerja ini adalah yang terbaik, sebab itu diambil bekerja dengan MAS, dan tak perlulah saya sebut apa masalah pengurusan (majikan).
“Kerajaan Negeri ingin melahirkan solidariti dan rasa simpati kepada mereka…dan ini adalah sumbangan Kerajaan Negeri untuk Malaysia,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan di sini baru-baru ini.
Menurut Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Sumber Manusia dan Sains, Teknologi & Inovasi, Prof. Dr. P. Ramasamy dilantik sebagai pengerusi badan bertindak tersebut.
Ramasamy dalam sidang media berasingan mengumumkan 18 individu yang menganggotai Badan Bertindak Kerajaan Negeri Pulau Pinang Terhadap Kakitangan MAS Yang Diberhentikan Kerja.
Mereka, antaranya peguam merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Sumber Manusia Negeri Pulau Pinang, Datuk Ajit Singh Jessy, Khoo Boon Lim (Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel Pulau Pinang), Noor Azam Mohd. Nor (perunding sumber manusia bagi Pengerusi Syarikat Perusahaan Bebas, FREPENCA), Datuk Khoo Cheok Sin (Pengerusi Persekutuan Pengusaha- Pengusaha Industri Malaysia Pulau Pinang, FMM), “Encik Mazlan” (Pengurus Cawangan FMM Kedah), Low Sook Jen (Penolong Pengarah Jabatan Buruh), K. Veeriah (Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, MTUC), Eunice Cheng (Pengurus Penang CAT) dan Loo Lee Lian (Pengurus Besar investPenang) serta Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer, Soon Lip Chee (ADUN Jawi), Ong Chin Wen (ADUN Bukit Tengah), Yeoh Soon Hin (ADUN Paya Terubong), Ram Karpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor), Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) dan Suhaily Razlan (Pembantu Khas kepada Exco Kerajaan Negeri, Dr. Afif Bahardin) turut menganggotai jawatankuasa itu.
“Saya berharap mereka yang terbabit boleh mendaftarkan diri dengan Penang CAT, kita (Kerajaan Negeri) pun memerlukan maklumat daripada pekerja-pekerja terbabit untuk melakukan carian pekerjaan yang sesuai, selain memberikan khidmat (nasihat) perundangan kepada mereka jika diminta,” jelasnya.
Terdahulu, MAS menghantar surat penamatan perkhidmatan kepada 20,000 kakitangannya, sebagai langkah penstrukturan dan pemulihan semula syarikat penerbangan negara tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS baru, Christoph Mueller.
Daripada jumlah itu, katanya, 6,000 pekerja ditamatkan kontrak serta-merta, manakala, baki 14,000 ditawarkan pekerjaan dengan syarikat baharu, Malaysia Airlines Bhd. Group (MAS Bhd.).
Dilaporkan, Mueller mengaku bahawa unsur penyalahgunaan kuasa serta pembaziran wujud dalam MAS, sehingga memaksa beliau mengambil langkah drastik menstruktur semula syarikat tersebut.
Ekoran itu, Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) menggesa Jawatankuasa Kira- Kira (PAC) memanggil lembaga pengarah MAS supaya menjawab tuduhan pembaziran yang didakwa Mueller.
Malah, Presiden NUFAM, Ismail Nasaruddin turut mendakwa pengurusan MAS bertindak kejam dengan memberhentikan anak kapal wanita yang sedang cuti bersalin, serta mereka yang daripada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan pasangan suami isteri yang bekerja dengan syarikat penerbangan tersebut.
Manakala, Kesatuan Pekerja- Pekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU) yang lantang membela nasib bekerja juga turut disebut-sebut akan dibubarkan, selepas penstrukturan semula MAS dimuktamadkan.
Khazanah Nasional Berhad sebagai pemilik kepentingan MAS dalam reaksi spontan menjelaskan bahawa “pakej pemberhentian” membabitkan 6,000 kakitangan terbabit berdasarkan formula yang sama seperti perjanjian bersama (CA) sedia ada mereka yang berkenaan.
if (document.currentScript) {