PAAP salur RM50,000, USM sebagai kampus perintis projek lestari air pertama

Admin
whatsapp image 2024 12 16 at 12.31.14 12435e1f (Dari kiri) ZULKIFLEE Omar, Jaseni Maidinsa, Azlan Amran dan tiga lain dalam acara pelancaran Kempen PAAB Lestari 2024 - Edu-Sustainability di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pada 16 Disember 2024.

BATU UBAN – Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai kampus perintis pertama bagi kempen kesedaran dalam memperkasa dan memperkukuh lagi usaha memelihara serta memulihara alam sekitar pada peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Semasa berucap, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Ir. Zulkiflee Omar berkata, syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan itu di bawah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM50,000 kepada USM Kampus Pulau Pinang bagi melaksanakan Kempen PAAB Lestari 2024 (Edu-Sustainability).

Menerusi strategik jangka panjang tersebut, beliau berharap Universiti Awam berkenaan dapat bekerjasama dengan firma operator air negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Water Watch Penang (WWP).

“Sebagai projek rintis kampus lestari bagi program CSR tersebut, PAAB akan melaksanakan inisiatif kelestarian termasuk penukaran pili air dan tangki tandas sedia ada di kolej kediaman itu kepada produk cekap air yang menghasilkan pengeluaran air lebih rendah dengan keupayaan menjimatkan bil air sehingga 50 peratus daripada jumlah bil semasa.

“Peruntukan berjumlah RM50,000 untuk menaik taraf kemudahan bekalan air dan infrastruktur kampus di kolej kediaman Desa Siswa Indah Kembara L-12 yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

“(Menerusi Kempen PAAB Lestari 2024, Edu-Sustainability ini), pelbagai inisiatif kelestarian bakal diterapkan dan dilaksanakan untuk menyampaikan maklumat tentang penjimatan air dan amalan hijau melalui kempen kesedaran kepada pelajar IPT,” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini pada 16 Disember 2024.

Timbalan Naib Canselor USM, Professor Dr. Azlan Amran turut menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Hadir sama, Pengerusi PAAP, Dato’ Seri Ir. Jaseni Maidinsa.

Sebelum itu, Presiden WWP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Chan Weng menyampaikan ceramah kesedaran penjimatan air di negeri Pulau Pinang, yang mana melibatkan siswa USM yang menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN