PAD sebagai daerah seni terbesar negara, rantau Asia Tenggara

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan menubuhkan Daerah Seni Pulau Pinang (Penang Art District, PAD) di Gat Lebuh Macallum berhampiran Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dengan pelaburan sebanyak RM30 juta.

PAD dijangka menjadi galeri seni, muzium budaya, ruang pameran, studio seni dan muzik, bengkel serta sekolah seni terbesar di Malaysia dan juga rantau Asia Tenggara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, Kerajaan Negeri komited menerokai bidang-bidang baharu yang dapat mengerakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Salah satu sumber penting yang kita (Kerajaan Negeri) lihat amat berjaya seperti di negara-negara luar adalah seni, budaya dan warisan.

“Dan…kita (Pulau Pinang) boleh lihat kesan yang amat jelas sekali apabila Kerajaan Negeri memulakan seni melukis dinding sekitar Tapak Warisan Dunia George Town.

“Yang mana, ada di antara lukisan-lukisan (dinding) ini seperti lakaran dua beradik yang menaiki basikal tua telah menjadi termasyhur dan tarikan minat seluruh dunia.

“Jadi, sekiranya kita (Kerajaan Negeri) dapat melipat gandakan apa yang telah berjaya kita (Kerajaan Negeri) paparkan ini dalam sebuah tapak seni yang lebih besar, ianya dapat memberikan pulangan ekonomi rancak,” katanya pada sidang media di sini 19 Oktober lalu.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Dato’ Rosli Jaafar (Pengerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC) dan Tony Pua Kiam Wee (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Selangor).

Mengulas lanjut, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan RM30 juta untuk menubuhkan PAD di kawasan seluas 9.2 ekar berkonsepkan kontena.

“Bagi menggambarkan warisan perdagangan dan maritim Pulau Pinang, konsep kontena akan digunakan di ruang seluas 100,000 kaki persegi.

“Gaya modular ini akan membolehkan fleksibiliti dan peluang yang lebih besar untuk berkembang di masa hadapan sesuai dengan masa serta komuniti seni di Pulau Pinang,” jelasnya yang merupakan Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Tambah Guan Eng, pelan induk bagi PAD telah diserahkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mendapatkan kebenaran merancang.

“BYG Architecture Sdn. Bhd. (BYG Architecture), iaitu sebuah syarikat reka cipta yang berpengkalan di Pulau Pinang telah dilantik sebagai pereka utama bagi PAD,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tony Pua menyatakan bahawa pihak PAD bersama-sama BYG Architecture akan mengadakan dialog serta perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam kalangan komuniti seni tempatan bagi memenuhi keperluan mereka.

“PAD bertujuan memusatkan komuniti-komuniti seni di Pulau Pinang dan juga di rantau Asia Tenggara.

“Diharap, ia akan menjadi tumpuan ataupun lokasi yang mana semua pihak yang bergiat aktif dan meminati seni dapat berkumpul memandangkan belum ada pusat seni seumpamanya di Asia Tenggara,” jelasnya lanjut.