Padah bina kilang tanpa kebenaran MBSP, mahkamah arah OKS bayar RM10,000

Admin

SEBERANG JAYA – Gara-gara menjalankan kerja-kerja kemajuan kilang tanpa kebenaran daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), pihak terbabit diarahkan Mahkamah untuk membayar RM10,000.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata mahkamah telah membuat keputusan itu pada 31 Mei lepas apabila pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes.

“Orang Kena Saman (OKS) telah menjelaskan denda tersebut di mahkamah pada hari sama.

“MBSP dengan ini mengingatkan kepada seluruh warga Seberang Perai agar mematuhi undang-undang dan tidak sewenang-wenangnya menjalankan kemajuan kilang tanpa kebenaran diberikan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa perancang tempatan,” jelasnya semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh di Menara Bandaraya MBSP di sini pada 23 Jun 2023.

Dalam perkembangan lain, beliau turut merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan pada 29 Jun ini serta Sambutan Hari Lahir Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak pada 8 Julai depan.

Kedua-dua sambutan itu membawa pada hari pelepasan am.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR