Padah wujudkan lot lidi ‘haram’ didenda RM30,000

Admin
5ebd3810 0cdc 433c 8832 b9688df19dfc SUASANA Mesyuarat Penuh Majlis di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP dekat Seberang Jaya pada pagi ini.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mendakwa pemunya tanah dan pihak yang telah menjalankan kerja-kerja tanah dengan menambun sawah padi bagi tujuan lot lidi di Mahkamah Majistret Majlis Bandaraya Seberang Perai pada 11 Jun 2024.

Mengulas lanjut, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata, Orang Kena Saman (OKS) dalam perbicaraan di mahkamah telah mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan dan dihukum denda RM30,000.

“MBSP dengan ini mengingatkan kepada seluruh warga Seberang Perai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak sewenang- wenangnya menjalankan aktiviti kerja tanah tanpa kelulusan daripada MBSP.

“Menjadikan tanah-tanah tersebut sebagai lot-lot lidi yang boleh menyebabkan berlakunya banjir lumpur kepada kawasan sekitar,” jelasnya semasa berucap dalam Mesyuarat Majlis Penuh Ke-600 (Bil.6/2024) di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 21 Jun 2024.

Sehubungan itu, beliau berkata pentadbirannya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati menjalankan aktiviti kerja tanah tanpa kelulusan atau menambun tanah bendang untuk dijual sebagai lot lidi.

“Turut dinasihatkan agar kita semua mematuhi kehendak notis-notis dan syarat-syarat yang telah dikeluarkan oleh MBSP,” jelasnya lagi.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB