Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Sebagai usaha membina dan menaiktaraf lebih banyak padang-padang awam dan rekreasi di sini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru – baru ini berjaya menyempurnakan pengimplementasian projek menaiktaraf Padang Datok Keramat di sini.
Sejumlah kos RM900, 000 diperuntukan bagi tujuan penaiktarafan padang yang dijangka dibuka untuk kegunaan orang ramai pada September ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir pada upacara perasmian berkata, Padang Datok Keramat sudah ‘bersedia’ untuk dianjurkan pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi.
“Padang ini sudah sedia untuk dianjurkan aktiviti sukan bola sepak. Ia sebagai tambahan kepada padangpadang awam sedia ada iaitu di Stadium Bandaraya dan Padang Polo di sini.
“Malahan, saya yakin Padang Datok Keramat akan digunakan sepenuhnya oleh pihak persatuan, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan serta agensi kerajaan untuk penganjuran semua aktiviti sukan terutamanya bola sepak,” ujarnya ketika ucaptama Majlis Perasmian Projek Menaiktaraf Padang Datok Keramat di sini baru-baru ini.
Turut memeriahkan majlis, Yang Dipertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Setiausaha Perbandaran, Ir. Ang Aing Thye dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar yang kini merupakan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik.
Tambah Guan Eng, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan usaha untuk membina dan menaiktaraf lebih banyak padang-padang awam dan rekreasi agar mencapai matlamat Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.
“MPPP juga akan meneruskan projek penghijauan dari Jalan Datok Keramat sehingga ke Air Itam dengan menanam lebih banyak pokok.
“Malah, MPPP kini turut giat menjalankan kerja-kerja menaiktaraf Taman Botani. Kita (Kerajaan Negeri)berhasrat untuk mengembalikan zaman kegemilangan Taman Botani supaya ianya setaraf dengan taman-taman botani di negara lain,” ujar Guan Eng.