KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng merakamkan ucapan takziah atas pemergian Pahlawan Negara, Datuk Temenggong Kanang Langkau baru-baru ini.
Menurut beliau, mendiang Kanang meninggal dunia pada 3 Januari lepas di Hospital Besar Kuching, Sarawak.
“Datuk Kanang adalah anak Sarawak dan Malaysia yang telah membanggakan negara dengan keberaniannya semasa mempertahankan negara ketika tempoh perkhidmatannya bersama Angkatan Tentera Malaysia.
“Beliau mula berkhidmat dalam Sarawak Ranger sebagai Iban Tracker dan jawatan terakhirnya ialah sebagai Pegawai Waran 1,” katanya dalam kenyataan media di sini baru-baru ini.
Menurutnya, kepahlawanan mendiang wajar diingati memandangkan mendiang pernah menerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dan Anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), iaitu pingat keberanian tertinggi negara. Malah, mendiang merupakan soldadu tunggal yang menerima pingat SP ketika masih hidup.
Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Presiden Gerakan merangkap bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Tun Lim Keng Yaik baru-baru ini.
Beliau berkata, mendiang, Keng Yaik, 73, seorang ahli politik yang banyak berjasa kepada negara kerana dilihat begitu lantang mempertikai beberapa tadbir urus pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
Justeru, beliau berkata, peranan yang dimainkan oleh mendiang selama 27 tahun, iaitu dari tahun 1986 hingga tahun 2008 wajar diingati.
“Mendiang seorang yang suka berterus terang, berjenaka dan mudah didekati akar umbi (sehingga) menyebabkan beliau mampu bertahan sebagai Presiden Gerakan selama 27 tahun dan tidak pernah tewas (di) kerusi Parlimen Bruas kepada DAP sejak 1986.
Mendiang Keng Yaik, 73, meninggal dunia kira-kira pada 22 Disember tahun lepas, kira-kira detik 5.13 petang meninggalkan balu, Toh Puan Wong Yoon Chuan serta tiga anak, termasuk Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Lim Si Pin.