Oleh:NORSHAHIDA YUSOFF
AIR ITAM– “Walaupun melibatkan peningkatan kos, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) tetap akan m e m b a n t u p e n d u d u k menyelesaikan masalah paip bocor dan lif,” ujar Exco Perancangan Desa, Bandar dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo ketika mengadakan lawatan ke Flat Padang Tembak di sini baru-baru ini.
Turut menemani beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng.
Sebelum ini, kira-kira 519 aduan diterima berhubung masalah demikian yang dipercayai telah berlarutan hampir lima tahun sebelum ini. Situasi bertambah teruk pada waktu pagi dan malam apabila para penduduk berada di kediaman masing-masing iaitu yang mana meningkatkan aliran air mengalir dan seterusnya bocor.
Dalam lawatannya, Jagdeep berkata, masalah tersebut masih berlarutan walaupun telah acap kali cuba diselesaikan, malah, kos turut meningkat.
“Walaupun kosnya agak tinggi, kita (Kerajaan Negeri) akan tetap membantu penduduk.
“Kaedah baru akan digunakan untuk membaiki sistem paip yang hanya memerlukan masa sehari bagi mengangkut keseluruhan air keluar.
“Kerajaan Negeri telah membayar sejumlah peruntukan, tetapi, sekiranya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor dilantik tidak selesaikan permasalahan ini, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk tidak menyelesaikan bayaran baki tersebut,” tegas Jagdeep.
Nada sama disuarakan Kah Peng berhubung penaiktarafan sistem lif di lokasi berkenaan.
“Ini bukan melibatkan masalah pembayaran dan kos yang semakin meningkat, tetapi permasalahan utama dihadapi penduduk sekian lama perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Kita akan buat siasatan lif di setiap blok, kemudian baru fikirkan sebarang keputusan yang perlu.
“Sebelum ini, terdapat tiga lif di blok E, B dan J sedang dibaiki dan menelan belanja sejumlah RM660,000 keseluruhannya,” ujar Kah Peng.