SEBERANG JAYA – Pada pukul 10.00 pagi tadi dua atau tiga bahagian baharu pada paip bawah dasar Sungai Perai sedia ada milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di sini bocor lagi.
Ekoran itu, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata gangguan bekalan air sekitar Daerah Barat Daya sahaja akan berlaku, serta tidak akan menjejaskan proses pemulihan air di kawasan-kawasan lain dekat Daerah Timur Laut dan bahagian Seberang Perai.
“Pemulihan air untuk daerah Barat Daya akan diteruskan, kawasan yang telah memperoleh bekalan air tidak akan terjejas.
“Proses pembekalan air pada tekanan rendah masih lagi disalurkan sebagaimana dimaklumkan sebelum ini.
“Justeru, penduduk di kawasan daerah Barat Daya dinasihatkan supaya terus menyimpan air yang secukupnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” jelasnya seusai mengadakan lawatan mengejut di tapak projek penyenggaraan pencegahan PBAPP dekat Sungai Perai di sini pada 12 Januari 2024.
Sebelum itu, di sini, Kon Yeow bersama-sama Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari serta Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye diberi taklimat ringkas mengenai pelan cegah rintang bagi menghadapi kejadian paip bocor buat kali ketiga dekat dasar Sungai Perai.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata PBAPP mencadangkan untuk melaksanakan lencongan paip sementara berdiameter 900 milimeter (mm) yang merentasi jambatan Ampang Jajar di bahagian atas permukaaan sungai.
Terdahulu, PBAPP mengumumkan rancangan gangguan bekalan air berjadual mulai 6.00 pagi pada 10 Januari 2024 hingga 14 Januari 2024 (6.00 pagi).
Seperti disasarkan, pihak berkuasa air negeri tersebut berjaya menyiapkan kerja-kerja penggantian dua injap kawalan dekat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di samping 22 projek penyelenggaraan pencegahan sekitar negeri ini dalam tempoh kurang 24 jam.
Sehingga petang semalam, proses pemulihan air masih mengikut jadual sasaran PBAPP, iaitu melibatkan lebih 60 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di negeri ini.
Namun, pada awal pagi tadi menyaksikan paip yang siap dikimpal di dasar Sungai Perai bocor kembali, serta dijangka mengakibatkan proses pemulihan air pada tekanan rendah berlaku di Daerah Barat Daya serta lokaliti lain di kawasan hujung paip agihan (EoL).
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan yang ditemui kemudian memberitahu bahawa pihaknya akan mengeluarkan kenyataan bertulis berhubung perincian syor pelan cegah rintang bagi menangani risiko kebocoran paip berulang di dasar Sungai Perai dalam masa terdekat.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR