Paip di dasar Sungai Perai sedang dibaiki, proses pemulihan air Daerah Barat Daya capai 5 peratus

Admin
b913e287 5fa0 4810 ba72 b1d704185ff4 AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir (tiga dari kanan) diiringi K. Pathmanathan (dua dari kanan) melawat salah satu tapak kerja-kerja penggantian injap kawalan 1.2m dekat LRA Sungai Dua di sini pada 11 Januari 2024.

SUNGAI DUA – Setakat kini, hanya 5 peratus daripada jumlah pengguna di Daerah Barat Daya (DBD) kembali mendapat bekalan air bersih.

e985786e 93c8 4c37 a3ee 7a3a263833a7
K. Pathmanathan

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata perkara itu disebabkan pasukannya masih bertungkus-lumus menyiapkan baki satu projek penyelenggaraan pencegahan paip bocor di dasar Sungai Perai.

“PBAPP akan pastikan proses pemulihan ini selesai mengikut jadual yang ditetapkan,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dekat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini pada 11 Januari 2024.

Kecuali projek penyelenggaraan pencegahan di dasar Sungai Perai, difahamkan projek penggantian dua injap kawalan berdiameter 1.2 meter (m) dekat LRA Sungai Perai serta 21 projek pembaikan lain di sekitar Pulau Pinang berjaya disiapkan dalam tempoh kurang dari 24 jam.

Sehingga kini, lebih 60 peratus daripada 590,000 pengguna yang terjejas telah kembali mendapat air terawat seperti biasa.

Berdasarkan sasaran masa proses pemulihan air yang diumumkan PBAPP sebelum ini, Pathmanathan memberitahu bahawa pengguna sekitar DBD dijadualkan mendapat air kembali pada 12 November mulai 6 pagi.

Sementara itu, Akmal Nasrullah memberitahu bahawa kerja-kerja kejuruteran bagi membaiki paip pecah di dasar Sungai Perai ketika ini telah mencapai lebih 50 peratus.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada PBAPP kerana berjaya melaksanakan proses pemulihan lebih awal berbanding masa sasaran, iaitu lebih 60 peratus ketika ini.

“Sementara mereka ada satu lagi kerja (kejuruteraan berbaki) di bawah Sungai Perai, tempat-tempat tertentu yang telah diberikan notis (gangguan bekalan air berjadual) untuk tempoh 96 jam, diminta bersabar.

“Kita (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, SPAN) telah meminta PBAPP untuk membantu menggerakkan aset-aset seperti lori tangki air ke kawasan-kawaaan terjejas (sekitar DBD),” jelasnya.

43512a59 29de 4920 bf66 d3e84c1af641
AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir

Dalam perkembangan lain, Akmal Nasrullah berkata SPAN sedang meneliti syor penyelarasan tarif air air termasuk yang dimohon oleh PBAPP sebelum ini.

“Kalau ada pengumuman (berkaitan penyelarasan tarif air), akan dibuat secara berasingan,” jelasnya.

Penjelasan itu sekali gus menjawab status permohonan PBAPP untuk menyemak tarif air domestik Pulau Pinang yang ketika ini adalah paling rendah berbanding negeri-negeri lain iaitu RM0.32 per liter bagi 35,000 liter pertama.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago turut sertai sidang media tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN