Oleh : YAP LEE YING
Gambar : IDZHAM AHMAD
UNIKNYA, kandang kambing milik Pak Tam atau nama sebenar, Mohd. Anwar Che Mat, 36, adalah terletak bersebelahan (bersambung) dengan dapur kediamannya.
Bertambah unik adalah tiada bau busuk yang dihidu di persekitaran tersebut walaupun terdapat lebih 70 ekor kambing daripada enam jenis baka dibela secara komersial untuk penjualan daging dan susu di sini.
Rahsianya, menurut Pak Tam adalah hasil daripada kajian beliau sendiri berhubung penggunaan semburan produk Effective Microorganisms (EM) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri kira-kira empat tahun lalu.
“Sebelum ni, saya gunakan sabun Dettol. Tapi, harganya terlalu mahal.
“Tapi, selepas Kerajaan Negeri memperkenal serta mempromosikan penggunaan produk EM yang jauh lebih murah, saya berasa lega. Kesannya adalah lebih efektif yang mana ia dapat mengelakkan bau busuk dan lalat daripada membiak di kandang kambing,” katanya ketika diwawancara Buletin Mutiara (BM) di kediamannya di Sungai Semambu, Penanti, Seberang Perai Tengah.
Setelah 12 tahun berkecimpung dalam bidang penternakan tersebut, Pak Tam yang amat peramah dan petah bercakap menyatakan bahawa beliau sanggup berkongsi pengalaman serta panduan penternakan kambing dengan mana-mana pihak berminat.
Jelas beliau, selain menambah kenalan, ia juga mampu mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan penternak.
“Lagi ramai orang bela lagi seronok. Sebab, nanti kita sama-sama boleh belajar dan bertukar-tukar idea serta baka.
“Malah, apabila tiba musim perayaan, sekiranya bekalan sendiri tidak dapat tampung, kita boleh call member untuk tampung permintaan supaya tidak mengecewakan pelanggan,” jelas Pak Tam yang menjadikan bidang berkenaan sebagai profesion separuh masanya.
Beliau yang berkhidmat di sebuah syarikat pelancongan menyatakan bahawa pada peringkat permulaan, penternakan terbabit adalah dijalankan oleh arwah bapanya yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
“Saya memang hargai jasa Pak. Kalu Pak tak mula buat, memang tidak akan menjadi,” kenangnya.
Bercerita lebih lanjut, Pak Tam menyatakan bahawa bidang penternakan memerlukan kesabaran yang tinggi.
Selain berdepan dengan masalah penyakit haiwan-haiwan ternakan, para penternak juga terpaksa berhadapan dengan masalah kenaikkan bahan-bahan makanan dan ubat-ubatan di pasaran.
“Antara penyakit yang sering menyerang kambing-kambing ternakan adalah perut kembung, kutu, sakit mata dan kuku. Semua penyakit ini tidak boleh elak.
“Apa yang boleh dibuat adalah jaga kebersihan kandang yang mana ia perlu dicuci setiap hari dan kemudian sembur EM dan pada masa sama letakkan juga EM dalam minuman kambing.
“Pada setiap empat bulan, kambing-kambing ternakan juga perlu diperiksa dan diberikan ubat cacing. Malah, dari semasa ke semasa, kambing-kambing juga perlu diberi makan vitamin, dicucuk ubat tahan penyakit,” ujar Pak Tam.
Menyentuh mengenai pemakanan kambing, Pak Tam menyatakan bahawa bagi memastikan kesihatan optimum kambing, pemakanan seimbang adalah perlu diamalkan iaitu diselang-selikan dengan makanan pelet dengan rumput, daun goncak, daun nangka, petai belalang, daun kelapa, daun sawit dan lain-lain.
“Tempoh matang kambing (tumbuh gigi baru) adalah setahun lima bulan. Kambing dibiak sebanyak dua kali dalam setahun dan tahap bunting adalah lima bulan 10 sehari,” jelas beliau.
Pak Tam memberitahu, berbanding kambing kampung, jumlah daging baka kambing kacukan adalah lebih banyak.
“Bagi kambing kacukan yang memiliki berat 35 kilogram (kg), jumlah daging yang dapat diperoleh adalah sebanyak 180 ketul, manakala, 40 kg ke atas adalah lebih 200 ketul.
“Bagi pasaran susu, kambing kacukan jenis Saenna adalah jenis kambing susu yang dibela di sini. Kini, hanya terdapat dua ekor kambing jenis ini dan pasaran susu hanya tertumpu di sini sahaja,” kata Pak Tam yang menggalakkan supaya anak-anak muda menceburi bidang berkenaan.
Dianggap sebagai orang lama dalam bidang ternakan tersebut, Pak Tam menyeru supaya pihak kementerian memantau harga jualan makanan pelet kambing.
Ini kerana, jelasnya, pada tahun 2002, harga kilang makanan pelet seberat 50 kg adalah RM18.50. Kini, dengan kuantiti sama, harganya meningkat kepada RM48.00.
Dalam pada itu, beliau turut tidak menafikan bahawa bidang tersebut turut memperuntukkan keperluan modal yang tinggi termasuk keadaan kayu kandang yang secara puratanya perlu ditukar setiap tahun (berperingkat) kerana reput.
Bagaimanapun, baginya, ia adalah sebahagian cabaran yang terpaksa dihadapi dan ia langsung tidak menjejaskan minatnya dalam bidang penternakan yang mendatangkan kepuasan pada diri beliau.
INFO :
019 – 431 9171