GEORGE TOWN – Orang ramai khasnya warga Pulau Pinang dipelawa untuk memeriahkan penganjuran Perkampungan Khaira Ummah 2030 (KAMPUNGKU2030) di Masjid Ibadur Rahman, Kepala Batas mulai esok, 5 Ogos sehingga Ahad ini (7 Ogos 2022).
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memaklumkan bahawa penganjuran KAMPUNGKU2030 membolehkan pengunjung untuk mengetahui dengan lebih dekat mengenai manfaat Pelan Pembangunan 10 Tahun Umat Islam Pulau Pinang atau Khaira Ummah 2030 yang menggambarkan iltizam Kerajaan Negeri dalam pembangunan Islam di negeri ini.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun bermula pada hari pertama yang mana perasmian akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri selepas solat Jumaat di Masjid Ibadur Rahman.
Kemudian akan disusuli pada sebelah malamnya, Forum Perdana Khaira Ummah 2030 serta penampilan istimewa personaliti dakwah, Dato’ Ustaz Badli Shah Alauddin pada Sabtu (6 Ogos) malam.
“Jadi, ayuh sama-sama kita meriahkannya,” serunya yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 4 Ogos 2022.
Difahamkan, selain forum dan ceramah, penganjuran KAMPUNG2030 turut dimeriahkan dengan jualan murah dari Pasar COOP, gerai usahawan, penganjuran street soccer Ar-Rijal, sukan rakyat, Karnival Kerjaya, pemeran agensi Islam dan awam serta sesi cabutan bertuah untuk pengunjung yang bertuah.
Terdahulu, pada sidang media sama, Ahmad Zakiyuddin turut mengumumkan kenaikan Elaun Kehadiran Mesyuarat (EKM) kepada 375 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini berkuat kuasa 1 Julai 2022.
Menurut Ahmad Zakiyuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, melalui Mesyuarat Exco yang diadakan pada 15 Jun 2022 dan disahkan pada 22 Jun 2022 telah meluluskan kenaikan elaun berkaitan sebanyak RM50 menjadikan jumlah elaun diterima adalah RM100.
Selain itu, melalui mesyuarat sama, pemberian elaun kepada Bendahari sebanyak RM300 sebulan melibatkan semua MPKK juga berkuat kuasa pada 1 Julai 2022.
“Selaras dengan keputusan tersebut, Jabatan Kewangan Negeri telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM2,025,000 ke Akaun Amanah Khas MPKK bagi tujuan pembayaran elaun tahun 2022.
“(Dan) bagi tahun 2022, peruntukan keseluruhan Akaun Amanah Khas MPKK adalah berjumlah RM10,025,000,” jelasnya.
Kerajaan Negeri sebelum ini membayar elaun kepada Pengerusi dan Setiausaha MPKK masing-masing RM700 dan RM600 melebihi saranan Kementerian Pembangunan Luar Bandar iaitu masing-masing RM500 dan RM300.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI