Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0: Peniaga, pengusaha perkhidmatan berdaftar diminta segera mohon mulai 25 Januari

GEORGE TOWN – Seramai 14,712 peniaga berdaftar di negeri ini bakal menerima manfaat daripada Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0 yang diumumkan baru-baru ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, bantuan khas kewangan bernilai RM500 akan diberikan secara ‘one-off’ kepada peniaga dan penjaja berlesen; penggerai yang berniaga di kompleks makanan atau kedai persendirian (lot kedai) dan penjaja yang mempunyai tagging serta berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

JAGDEEP Singh Deo.

“Bagi kategori penjaja berdaftar ini, sejumlah RM7,356,000 diperuntukan.

 

“Manakala, nilai yang sama (RM500 secara ‘one-off’) turut diberikan kepada pengusaha perkhidmatan gunting rambut / salun rambut; perkhidmatan salun kecantikan dan spa; perkhidmatan pusat refleksologi dan bekam.

 

“Bagi kategori ini, seramai 2,929 pengusaha berdaftar dan berlesen telah dikenal pasti dan layak untuk menerima manfaat.

 

“(Dan) dianggarkan sejumlah RM1,464,500 diperuntukan bagi kategori ini,” ujarnya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pagi ini.

 

Dalam pada itu, Datuk Bandar bagi MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud yang turut sama dalam sidang media tersebut memaklumkan bahawa para peniaga dan pengusaha yang berlesen serta berdaftar dengan PBT boleh mengakses Portal Bantuan Tunai Penjaja 3.0 mulai 25 Januari 2021.

 

Portal Bantuan Tunai Penjaja 3.0 adalah bertujuan untuk mengumpul maklumat perniagaan, individu dan akaun bank penjaja yang berdaftar dan layak bagi memudahkan penyaluran bantuan.

 

DATUK Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai.

“Bagi penjaja yang mempunyai lesen tahun 2020 semuanya layak menerima manfaat ini kerana mereka perlu memperbaharui lesen bagi tahun tersebut.

 

“Manakala bagi lesen baru yang memohon sebelum 21 Januari 2021 juga layak untuk menerima bantuan ini dan tutorial pendaftaran akan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasmi MBSP mulai 25 Januari ini.

 

“Jadi saya minta, orang ramai boleh ‘Like’ atau ‘Follow’ siaran langsung di laman Facebook rasmi PBT bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai pakej bantuan ini atau apa-apa juga manfaat lain yang disiarkan melaluinya (Facebook),” jelasnya.

 

Selain itu, turut menerima manfaat, kata Rozali, adalah peniaga baru yang menjalankan perniagaan dari rumah atau ‘business from home’ (BFH).

 

“Sebelum ini, peniaga yang menjalankan BFH ini tidak mempunyai lesen kerana tiada garis panduan yang jelas, namun kini terdapat garis panduan yang mana mereka juga perlu berdaftar dengan PBT.

 

“Bagi kategori ini, mereka yang berdaftar sebelum 21 Januari 2021 layak sebagai penerima bantuan ini,” katanya.

 

Sementara itu, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, penerima bagi semua kategori peniaga dan pengusaha perkhidmatan yang berdaftar (di bahagian Pulau) boleh melayari Sistem Pengurusan Maklumat Lesen atau eLesen melalui https://elesen.mbpp.gov.my.

 

AR. Yew Tung Seang (kanan sekali) ketika hadir pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi berkaitan pagi ini.

“Pihak kami (MBPP) berharap para peniaga dan pengusaha perkhidmatan yang layak segera berdaftar dengan MBPP mulai 25 Januari ini bagi membolehkan pembayaran dilakukan secepat mungkin.

 

Tempoh sebulan diberikan (mulai 25 Januari sehingga 26 Februari 2021) kepada semua peniaga dan pengusaha perkhidmatan untuk membuat pendaftaran melalui portal yang disediakan.

 

“Bayaran pertama dijangka akan lakukan mulai 29 Januari ini,” jelasnya.

 

Difahamkan, penyaluran bayaran akan dibuat melalui kaedah pindahan dana elektronik (EFT) atau melalui ‘bank transfer’.

 

Terdahulu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0 dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

 

Sebanyak lima kumpulan sasar pertama bakal menerima manfaat masing-masing termasuk 462 pengusaha kantin sekolah yang menerima RM500 secara ‘one-off’; 288 penarik beca (RM200 secara ‘one-off’) yang telah dikenal pasti dan peruntukan khas RM30,000 kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen Kerajaan Negeri, ADUN Angkat, Pegawai Penyelaras KADUN dan Pegawai Penyelaras Khas Parlimen (bagi membolehkan bantuan terus kepada kelompok terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP 2.0) dengan anggaran keseluruhan adalah RM10,979,100.

 

(Dari kiri); SR. Rozali Mohamud, Jagdeep Singh Deo dan Ar. Yew Tung Seang menunjukkan dokumen kelulusan pemberian bantuan tunai Kerajaan Negeri pada sidang media di Komtar, pagi ini.

Laman Facebook Rasmi MBPP, klik https://www.facebook.com/majlisbandaraya.pulaupinang.

Laman Facebook Rasmi MBSP, klik https://www.facebook.com/mbsp.pg.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR