Pakej Ekopelancongan SPU dipelbagaikan

PAKEJ Ekopelancongan Seberang Perai Utara (SPU) dijangka dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun depan sekiranya penularan pandemik COVID-19 di Pulau Pinang dan seluruh negara kembali reda.

Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri bagi Parlimen Kepala Batas, LAY HOCK PENG berkata bahawa sehingga kini, pihaknya masih berusaha untuk menambah baik pakej tersebut agar ia dapat memberi kepuasan maksimum kepada para pelancong kelak.

Halia organik dan tanaman herba tradisional dua lagi produk yang dipilih untuk melengkapkan Pakej Ekopelancongan SPU.

Terbaru kata beliau, pihaknya telah mengenal pasti dua lagi produk pertanian yang boleh dimasukkan dalam pakej berkaitan iaitu halia organic dan tanaman herba tradisional yang diusahakan oleh petani tempatan.

Hock Peng merupakan penganjur Pakej Ekopelancongan SPU berkata, penanaman halia organik merupakan langkah tepat memandangkan lebih 80 peratus halia yang berada dalam pasaran tempatan adalah halia import.

“Bagi membantu meningkatkan hasil jualan, saya bercadang untuk merancakkan lagi penghasilan produk berasaskan halia organik tempatan di sini dan menyenaraikan ia sebagai salah satu tarikan pelancongan di Seberang Perai.

“Cuba bayangkan, Pulau Pinang kini telah berjaya menghasilkan halia organik dan mengeluarkan pelbagai produk berasaskan halia sendiri.

“Malah, kita juga merancang untuk mendirikan ruang pameran bagi mempromosikan pelbagai produk berasaskan halia organic seperti teh, kopi serta kudapan halia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hock Peng berkata bahawa pelbagai jenis herba tradisional tempatan yang diusahakan dekat Guar Perahu dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penanti pula mampu menarik minat pelancong terutamanya dari luar negara untuk datang ke Pulau Pinang.

Lay Hock Peng (kanan) memerhatikan Wan Chik Ahmad merasa halia organik yang baru dituai.

Ini kerana menurut beliau, terdapat sesetengah herba tradisional yang ditanam hanya boleh didapati di negara ini sahaja.

“Sebab itu kita telah memilih kebun herba tradisional sebagai ‘rakan usaha sama’ Pusat Ekopelancongan SPU.

“(Dan) kita berharap (melalui usaha sama ini), lebih ramai pelancong akan datang ke Pulau Pinang khasnyaSeberang Perai untuk mendalami ciri-ciri herba tradisional Melayu dan kegunaan dalam kehidupan seharian masyarakat.

“Pada masa sama, kita juga mahu mempromosikan Pusat Ekopelancongan SPU dalam peta pelancongan negeri melalui produk-produk yang terpilih ini sekali gus dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi Pulau Pinang,” ulasnya.

Dalam pada itu, Buletin Mutiara turut berkesempatan melawat dan menemu bual pengusaha tanaman halia organik serta herba tradisional tempatan untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai produk mereka.

Ladang halia organik

Pemilik ladang halia organik, WAN CHIK AHMAD, 53, berkata beliau mula menceburkan diri dalam bidang penanaman halia pada Mei 2020 selepas perniagaannya sebagai kontraktor terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Pertanian bukanlah bidang saya kerana saya datang dari latar belakang kejuruteraan tetapi saya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ini.

“Selain itu, matlamat saya adalah untuk mengubah persepsi masyarakat di kampung yang berpandangan bahawa bidang pertanian tidak dapat menjana pendapatan lumayan.

Halia organik yang baru dituai.

“Sebab itulah selepas pulang dari luar negara, saya terus buat bendang padi dan mula melabur untuk membeli kelengkapan pertanian sebelum memulakan penanaman halia organik,” ujarnya yang pernah berkhidmat sebagai jurutera di Amerika Syarikat, Poland, Mexico dan Indonesia.

Beliau yang lebih mesra disapa sebagai Encik Wan menjelaskan bahawa semua kerja penyelidikan, pembinaan tapak ladang dan penanaman halia organik adalah diusahakan sendiri olehnya dengan bantuan seorang lagi pekerja.

Malah kata beliau, tanaman halia organik yang diusahakan di atas tanah seluas setengah ekar tersebut menggunakan 100 peratus sekam padi untuk tujuan semaian anak benih.

“Saya guna sekam padi kerana ia tidak mempunyai sebarang mikroorganisma selain boleh dirawat menggunakan teknologi tertentu.

“Selain itu, saya juga banyak menggunakan bahan-bahan organik yang mesra alam sebagai alternatif untuk mengurangkan penggunaan bahan kimia.

“Dari segi penjagaan pula, tanaman halia memerlukan kita sentiasa mengawal kuantiti siraman serta suhu air iaitu tidak melebihi 30 darjah Celsius selain memastikan tahap keasidan (pH) tanah berada dalam lingkungan 5 hingga 6 sekiranya cuaca panas,” katanya.

Encik Wan memberitahu bahawa selain permintaan pasaran, kebergantungan Malaysia kepada halia import khususnya dari China dan Thailand menjadi faktor utama beliau memilih untuk mengusahakan ladang halia organik.

“Sekarang negara kita bergantung lebih 80 peratus kepada halia import, dan ini membuatkan saya berfikir kenapa kita sendiri tidak mengusahakan industri ini terutamanya di kawasan Kepala Batas.

Wan Chik Ahmad menunjukkan halia organik yang telah matang.

“Tambahan pula, rasa halia organic yang ditanam di sini berbeza dengan halia import yang mana ia lebih pedas,” ujarnya lanjut.

Tambah Encik Wan, tanaman halia organik yang beliau usahakan adalah menggunakan sistem fertigasi dan mampu menghasilkan kira-kira 10,000 kilogram (kg) setiap kali tuaian dilakukan.

“Kali pertama tuai, hasil yang saya dapat adalah kira-kira 1.6kg untuk satu polibeg tetapi sekarang boleh cecah 2 hingga 3kg dengan kadar kekerapan tuaian adalah sekitar enam bulan sekali.

“Hasil yang dituai pada mulanya dijual kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Bukit Mertajam, tetapi kini diperluaskan kepada pemborong-pemborong tempatan khususnya di Pasar Awam Bukit Metajam,” ulasnya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan terutamanya setelah menyertai Pakej Ekopelancongan SPU, Encik Wan memberitahu bahawa beliau berhasrat mewujudkan satu ruang khas untuk pameran produk berkaitan halia.

“Mungkin kita boleh adakan satu ruang khas untuk menempatkan halia segar dan produk-produk yang dihasilkan daripada halia seperti teh, kopi, biskut, produk kesihatan dan sebagainya.

“Jadi, apabila pelancong datang nanti, mereka boleh mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan halia selain boleh merasai sendiri pengalaman menuai halia di sini.

“Kita sasarkan sebanyak 1,000 pokok halia akan disediakan khusus untuk tujuan pelancongan,” ujarnya lagi.

Tanaman herba tradisional

Permintaan terhadap herba tradisional semakin meningkat dalam kalangan masyarakat di negara ini yang mana ia dijadikan bahan utama dalam penghasilan pelbagai produk kecantikan dan kesihatan pada masa kini.

Malah, pengambilan herba tradisional sebagai bahan rawatan sudah lama dipraktikkan dan dikatakan mampu mengurangkan pelbagai masalah kesihatan seperti sakit sendi, kecing manis, darah tinggi, batu karang dan sebagainya.

Mohd. Shukri Mohamad Talib meneliti pokok lidah buaya yang ditanam di kebun herba dekat Kampung Pelet.

Bertitik tolak dari situlah, MOHD. SHUKRI MOHAMAD TALIB, 49, menyatakan bahawa beliau mengambil keputusan untuk mempelbagaikan lagi tanaman herba yang diusahakannya sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, pada masa ini, terdapat lebih 160 jenis herba telah ditanam di atas tanah seluas empat ekar milik Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang yang diwartakan khas untuk tanaman organik dekat Kampung Pelet dalam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Antara herba yang ditanam adalah seperti markisa, petola, peria katak, pegaga, kunyit, sirih, pokok cincau, belalai gajah, misai kucing, lidah buaya, halia bara, mahkota dewa, bunga telang, serta banyak lagi.

“Semua tanaman ini tidak terdedah kepada bahan-bahan kimia kerana kita menggunakan kompos organik yang dihasilkan daripada hampas herba dan tinja (tahi) ayam.

“Ini penting kerana kilang-kilang dan pengusaha produk kesihatan tempatan yang merupakan pelanggan tetap kami mendapatkan pelbagai jenis herba di sini untuk menghasilkan pelbagai produk seperti makanan kesihatan, penjagaan diri, farmaseutikal dan lain-lain.

“Jadi, kita mahu pastikan tanaman yang dihasilkan ini adalah selamat serta bebas daripada sebarang penggunaan bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya ketika ditemui dekat Kampung Pelet baru-baru ini.

Pokok Ati-ati atau Solenostemon turut ditanam.

Bercerita mengenai penglibatan awal dalam bidang pertanian herba, Mohd. Shukri menjelaskan bahawa ia bermula sejak 20 tahun lalu yang mana ketika itu beliau masih bekerja di sebuah kilang di negeri ini.

Menurut beliau, minat terhadap penanaman pokok membuatkannya nekad menceburi bidang pertanian bermula dengan mengusaha ladang kontrak untuk membekalkan herba misai kucing atau nama saintifiknya Orthosiphon aristatus kepada Universiti Sains Malaysia (USM) bagi tujuan penyelidikan.

“Pada masa itu, USM minta bekalkan kira-kira satu tan metrik herba misai kucing yang telah dikeringkan setiap bulan yang mana ia memerlukan banyak pembekal bagi memenuhi permintaan tersebut.

“Malangnya, tidak ramai petani yang mampu bekalkan herba misai kucing pada waktu itu, dan bermula dari situlah saya buat keputusan untuk membuka ladang kontrak untuk menanam herba misai kucing.

“Kemudian, saya menambah beberapa jenis tanaman herba lagi seperti akar serapat, kacip fatimah, tongkat ali dan lain-lain seiring dengan permintaan oleh pihak USM ketika itu,” jelasnya.

Buah markisa.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata bahawa penanaman herba tradisional kini berkembang menjadi sebuah industri yang sangat berpotensi besar untuk menjana ekonomi negara termasuk negeri Pulau Pinang.

Oleh itu, beliau memberitahu bahawa tanaman herba yang diusahakan tersebut tidak hanya dipasarkan dalam bentuk herba segar atau dikeringkan tetapi turut dijual dalam bentuk ekstrak kerana permintaannya lebih tinggi katika ini.

“Sebelum ini, saya jual herba kebanyakannya dalam bentuk herba kering yang dikisar tetapi malangnya produk ini mendapat maklum balas kurang memuaskan daripada pelanggan.

“Hal ini kerana, mereka mendakwa bahawa pengambilan herba yang dikisar berisiko menjejaskan kesihatan terutamanya berkaitan dengan buah pinggang.

“Justeru, saya mengambil keputusan untuk menukar herba-herba ini ke dalam bentuk ekstrak dengan menggunakan teknologi moden yang lebih canggih, dan alhamdulillah ia nampaknya telah diterima baik serta mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Walau bagaimanapun, proses pengekstrakan ini bukanlah sesuatu yang mudah dan mengambil masa yang agak lama iaitu kira-kira setahun untuk memperkenalkan teknologi baru sebelum herba ini boleh dipasarkan.

Herba dikeringkan turut dijual.

“Selain itu, kos untuk proses pengekstrakan agak tinggi jadi secara tidak langsung produk yang kita jual juga menjadi sedikit mahal kerana upah bagi proses tersebut adalah dalam anggaran RM90 untuk sekilogram.

“Pada mulanya, pelanggan agak sukar untuk menerima produk dalam bentuk ekstrak tetapi selepas setahun kita adakan promosi dan memperlihatkan keberkesanan terhadap kesihatan, akhirnya mereka boleh menerimanya,” jelasnya.

Ketika ditanya adakah penularan pandemik COVID-19 menjejaskan perniagaanya, Mohd. Shukri memberitahu bahawa jualan produk herba kekal mendapat permintaan tinggi meskipun negara berdepan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.

“Walaupun negara berada dalam tempoh PKP, tetapi perniagaan masih berjalan kerana kita dalam kategori makanan kesihatan yang dibenarkan untuk beroperasi dan pelanggan tetap pula terdiri daripada kilang-kilang pembuatan suplemen bukan sahaja dari utara tetapi juga di seluruh tanah air kecuali Sabah dan Sarawak.

“Tambahan pula, dalam tempoh pandemik ini kebanyakan orang mencari herba terutamanya kulit kayu manis, kunyit, bawang putih, halia dan mambu sebagai alternatif untuk merawat dan menguatkan imun tubuh badan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 kerana pada masa itu kita masih belum ada vaksin,” ujarnya.

Pelbagai herba yang diproses melalui kaedah pengekstrakan.

Menyentuh perkembangan terkini, Mohd. Shukri memaklumkan bahawa beliau telah menyuntik pelaburan berjumlah RM300,000 untuk mendapatkan geran bagi membangunkan sebuah mesin baru demi meningkatkan produk herba ekstrak.

“Sekarang permintaan terhadap sesetengah herba seperti tongkat ali,kurma, kismis, delima, buah tin dan buah zaitun sangat tinggi dan adakalanya kita tidak mampu untuk memenuhi permintaan tersebut.

“Oleh itu, diharapkan dengan adanya mesin baru nanti, kita mampu memenuhi permintaan tinggi daripada pelanggan terutamanya produk berbentuk ekstrak dan serbuk,” ulasnya yang kini mempunyai empat cawangan perniagaan di negeri ini di bawah jenama Ees Biotech Sdn. Bhd..

Bercakap mengenai perancangan jangka panjang, Mohd. Shukri berkata bahawa beliau akan memfokuskan kepada penghasilan ekstrak herba memandangkan permintaan terhadap produk itu semakin tinggi di pasaran.

“Kita juga bakal melabur kira-kira setengah juta ringgit untuk meningkatkan kapasiti serta menambah nilai produk bagi memenuhi permintaan oleh kilang-kilang.

“Selain itu, kita merancang untuk membuka satu lagi nurseri di Bukit Merah yang dilengkapi dengan kafe berasaskan produk herba,” katanya mengakhiri bicara.

Difahamkan, Ees Biotech Sdn. Bhd. telah pun mempunyai sebuah nurseri dekat Bertam yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti kafe, rumah inap desa serta pusat refleksologi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS