Paling kurang MoU Projek Air Perak Pulau Pinang dimeterai tahun 2024, respons Ketua Menteri

Admin
b2a12873 048a 4f07 97bd d1f389ef40df KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di sini menjelang tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Sekurang-kurangnya, persetujuan bersama dari segi pelaksanaan, pembiayaan dan menandatangani perjanjian berkaitan Projek Air Perak – Pulau Pinang boleh dicapai dalam tahun 2024 ini juga.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberikan respons itu ketika diminta mengulas mengenai kenyataan terbaru Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang dilaporkan berkata bahawa perjanjian persefahaman (MoU) berhubung projek tersebut tidak dapat dimeterai pada tahun ini.

Pada 3 Januari lepas, Saarani dilaporkan berkata bahawa keputusan itu mengambil kira banyak proses yang perlu dilalui seperti kelulusan kementerian berkaitan mengenai pembinaan loji rawatan air (LRA) di wilayah utara Perak, selain beberapa perkara yang perlu dibincang seperti kadar tarif jualan.

“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) semua tahu projek ini akan mengambil masa selama enam hingga lapan tahun.

“Apa yang saya maksudkan sebelum ini adalah kalau tahun ini (2024) kita boleh mencapai persetujuan dari segi pelaksanaan, pembiayaan, menandatangani perjanjian, itu pun suatu permulaan yang baik,” responsnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam sidang media di sini pada 5 Januari 2024.

Terdahulu, Kon Yeow yang dilapor mengumumkan Pulau Pinang akan memeterai MoU atau perjanjian mengenai pembiayaan bersama Perak atas skim Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) atau Projek Air Perak – Pulau Pinang pada 2024.

Di bawah skim itu, difahamkan, Perak akan membekalkan air terawat dengan Pulau Pinang meminta pembekalan 700 juta liter sehari (MLD), sebagai sebahagian daripada Pelan Kontingensi Air Pulau Pinang 2030.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD