Paling penting kilang sanggup beli sisa air terawat, Kon Yeow respons Pengerusi SPAN

e7c1599b 2e75 44ff 8516 07f0e5979c96 KETUA Menteri (kanan) dengan diiringi Lau Keng Ee (kiri) dalam sidang media berkaitan seusai menyertai majlis penyerahan biasiswa tajaan Ancom Crop Care di Hotel St. Giles Wembley di sini pada 15 Januari 2024.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memang telah memeterai perjanjian persefahaman dengan Indah Water Konsortium (IWK) untuk meneroka peluang mengitar semula sisa air menjadi air terawat bagi memenuhi keperluan kilang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai mengulas syor Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago pada Jumaat lepas yang mengatakan bahawa telah tiba masa bagi Pulau Pinang memanfaatkan air sisa yang dirawat demi memastikan bekalan air negeri mampan sekali gus mengurangkan gangguan bekalan asas tersebut.

“Paling penting, kita perlu ada (permintaan daripada) pengguna, maksudnya kilang-kilang itu sanggup membeli air yang telah dikitar semula khususnya untuk (memenuhi keperluan) operasi kilang,” jelasnya seusai menyaksikan acara penyampaian tajaan biasiswa Ancom Crop Care kepada 14 pelajar terpilih di sini pada 15 Januari 2024.

Turut serta, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa setakat ini, pihaknya masih tidak menerima permintaan rasmi berbentuk rebat daripada mana-mana pemegang taruh dalam sektor perindustrian yang terjejas dek rancangan gangguan bekalan air berjadual selama 96 jam sehingga 14 Januari 2024.

“Tunggu dan lihat,” responsnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sebelum itu, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan proses pemulihan air ke bahagian pulau dan Seberang Perai termasuk kawasan hujung paip agihan (EoL) dekat Daerah Barat Daya semalam.

Di samping itu, beliau turut memberitahu bahawa ketika ini PBAPP sedang membina dua paip lencongan sementara berdiameter 600 milimeter (mm) merentasi atas Sungai Perai memandangkan paip sedia ada di dasar sungai itu bocor beberapa kali sebelum ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TINGG
Video : SIEW CHIA EN