Paling penting pengunjung Laman Fotografi Taman Rekreasi Awam Sembilang ‘enjoy’ – Kon Yeow

SEBERANG JAYA – Laman Fotografi dengan hasilan mural dan grafiti cantik di Taman Rekreasi Awam Sembilang, yang telah siap dinaik taraf akan memberi kelainan kepada para pengunjung di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, paling penting bukanlah RM120,120 yang dibelanjakan untuk projek penarafan ini, sebaliknya adalah impak sosial iaitu rakyat terbanyak boleh menikmati kemudahan infrastruktur awam tersebut.

“Sekiranya kita (Kerajaan) dapat tambah nilai tambah (added value) kepada apa yang kita dapat lihat ini, akhirnya rakyat boleh ‘enjoy’.

“(Laman Fotografi Taman Rekreasi Awam Sembilang) ini adalah satu contoh, kolaborasi dan inisiatif pelbagai pihak yang dapat menjayakan projek bermakna ini.

“Saya berharap Laman Fotografi ini bukan sahaja menjadi kawasan tumpuan penduduk Seberang Jaya terutama di Taman Semilang, malah juga tarikan buat rakyat Pulau Pinang pada amnya untuk berkunjung ke sini,” ujarnya sebelum merasmikan acara pembukaan ‘Laman Fotografi Seberang Jaya’ dekat Taman Rekreasi Awam Taman Sembilang di sini pada 15 Disember 2018.

Turut berucap, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Jaya (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Lanjutan itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Afif kerana mengilhamkan dekorasi Laman Fotografi dengan konsep unik, hasil lawatan kerja beliau melihat taman-taman awam menarik di negara jiran, Indonesia.

Dalam pada itu, Rozali menyatakan bahawa RM120,120 kos projek penarafan tersebut adalah dengan menggunakan wang sumbangan menggantikan penyediaan kemudahan (kawasan tanah lapang).

Tambah beliau, projek penarafan yang telah siap dibuat adalah meliputi kerja-kerja pembaikan laluan pejalan kaki, struktur dinding konkrit (free standing wall), pembinaan dataran kejat, struktur arca bangku, lantai konkrit longkang untuk laluan masuk, papan tanda nama Taman Rekreasi Awam Sembilang, papan tanda larangan, penanaman pokok teduh dan renek serta penanaman rumput.

“MPSP merupakan sebuah organisasi berorientasikan rakyat atau ‘People Centric Organization’, dan telah serta akan terus memperbanyak lagi program sejajar dengan ‘People Centric’ ini.

“Kewujudan Laman Fotografi seumpama ini adalah untuk menarik golongan remaja mengikut sohor kini, untuk aktiviti rekreasi sambil berswafoto dengan berlatarbelakangkan pemandangan indah Sungai Perai dan lukisan-lukisan menarik pada struktur dinding konkrit (free standing concrete wall),” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memberitahu bahawa inisiatif projek MPSP terbaru itu adalah berlandaskan Penang2030 iaitu wawasan pembangunan Pulau Pinang dalam tempoh 12 tahun sehingga 2030 yang digagaskan sendiri oleh Kon Yeow.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD