Palm Villas sertai program Sisa Sifar MPSP

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BUTTERWORTH – Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berharap penyertaan penduduk Palm Villas dalam Program Sisa Sifar kendalian Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini dapat menyumbang pada usaha mengurangkan hasil sisa pepejal sebagaimana disasarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Dengan pengurangan penjanaan sisa pepejal ini, penduduk dapat menjimatkan peruntukan pengurusan sisa pepejal yang semakin meningkat setiap tahun yang perlu ditanggung oleh MPSP.

“Sekurang-kurangnya, dengan penjimatan ini MPSP dapat menyalurkan semula melalui kerja pembersihan dan pembangunan untuk komuniti,” ujar Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

Wakil Osaka Plastics Sdn. Bhd. dan Guppy Industries Sdn. Bhd. turut hadir pada majlis tersebut.

Boon Poh berkata, partisipasi komuniti dalam program MPSP itu sekaligus dapat mewujudkan persekitaran yang bersih dan hijau di kawasan perumahan masing- masing.

Dalam perkembangan sama, Boon Poh turut mengagihkan bekas plastik sumbangan Osaka Plastics Sdn. Bhd. kepada penduduk setempat untuk mengasingkan sisa buangan basah.

Terdahulu, Guppy Industries Sdn. Bhd. terut mengambil inisiatif serupa demi mengurangkan penjanaan sisa pepejal dari hasil industri kilang tersebut.

Sisa sifar merupakan satu program mengasingkan sisa basah untuk dijadikan kompos dan biogas selain kitar semula sisa pepejal.