Pamer imej baik, praktik amalan kebersihan

Admin

PADANG KOTA – Sebagai salah satu langkah dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) pemakanan kekal dipatuhi, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada hari ini mengambil inisiatif mengedarkan apron serta pelitup muka kepada barisan penjaja membabitkan dua pusat penjaja sekitar kawasan Parlimen Tanjong di sini.

Menurut beliau, penjaja merupakan barisan hadapan industri pelancongan dan perlu mempamerkan imej serta teladan yang baik.

“Semasa proses edaran dijalankan di Medan Selera Sri Weld dan Medan Renong, saya mendapati bahawa majoriti penjaja tidak memakai apron sebagaimana disyaratkan.

“Imej berkaitan perlu diperbaiki segera memandangkan pusat penjaja sering menjadi tarikan pelancong luar khasnya,” serunya semasa edaran 1,500 apron dan pelitup muka kepada penjaja sebentar tadi.

KETUA MENTERI bersama-sama Datuk Bandar MBPP semasa sesi mengedarkan apron kepada penjaja.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Ahli Majlis MBPP, Wong Yuee Harng.

 

SALAH seorang penjaja di Medan Renong segera menyarungkan apron yang diedarkan sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut berharap agar MBPP meningkatkan pemantauan serta mengatasi kekurangan sedia ada.

“Di samping itu, saya turut perhatikan bahawa tahap kebersihan di Medan Renong adalah agak kurang memuaskan berbanding di Medan Selera Sri Weld.

“Oleh demikian, saya ingin menyeru rakyat Pulau Pinang untuk turut menjalankan tanggungjawab dengan mempraktikkan amalan kebersihan di mana jua,” ulasnya sambil menekankan baki apron dan pelitup muka bakal diedarkan di beberapa pusat penjaja di sini kelak.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NORAZIS