Pameran foto ‘Kebanggaan Keluarga’ simbol hargai ibu bapa dan ingati asal usul

3f4335ca 174d 4f90 b0b2 abcfa630b26a

BATU UBAN – Bertemakan ‘Kebanggaan Keluarga’, artis Puah Chin Kok kini menjalankan pameran solo bertempat di Muzium & Galeri Tunku Fauziah, Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut Chin Kok, pameran yang bermula dari 14 April hingga 28 Jun 2025 itu diharap menjadi cetusan inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai pengorbanan ibu bapa, mengingati asal usul dan mengikat semangat kekeluargaan.

“Idea ini bermula pada tahun 2015, pada ketika itu ibu saya sedang sakit dan bagi memudahkan saya menjaganya, saya mengambil keputusan membawa beliau berpindah ke Kuala Lumpur.

“Bagi memberikan suasana rumah kampung atau rumah asal beliau, saya telah merakam beberapa gambar rumah lama kami yang mana dua daripadanya saya besarkan dan gantung di bilik yang kami sediakan untuk ibu berehat.

“Salah satu daripada gambar tersebut adalah memaparkan frasa ‘Jin YU Man Tang’ manakala satu lagi menunjukkan dinding yang penuh dengan gambar graduasi adik-beradik kami.

“Sepanjang tempoh pemulihan, ibu saya memang suka merenung gambar-gambar tersebut sambil memuji dalam Bahasa Hokkien ‘jin sui’ yang bermaksud sangat indah,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini hari ini.

Pameran tersebut dirasmikan oleh Dekan Fakulti Seni USM, Prof. Madya Muhizam Mustafa.

Namun seperkara yang dikesali Chin Kok adalah apabila hasrat ibunya untuk menyarung seragam sekolah akhirnya tidak kesampaian.

“Permintaan tersebut mempunyai maksud tersendiri, kerana pada usia mudanya, beliau tidak sempat menamatkan pengajian di sekolah.

“Sungguhpun beliau sudah tiada, namun coretan-coretan gambar lama tersebut mampu memberi saya ketenangan dan mengingati asal usul selain meingingati siapakah ibu kita yang sebenarnya.

“Sepanjang hayat ibu saya, beliau amat mementingkan pendidikan, pada masa yang sama beliau membawa saya untuk memahami apakah erti ‘jin sui’ di mata beliau,” maklum Chin Kok yang berasal dari Teluk Intan, Perak.

Dalam memperkayakan bahan pameran, Chin Kok turut menjemput rakan-rakan beliau dari Pulau Pinang, Selangor dan negeri-negeri lain untuk berkongsi gambar-gambar yang mirip serta bermakna dalam kisah hidup kita.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN