Pameran kenali Nabi Muhammad SAW berlangsung hingga 28 Oktober ini

GEORGE TOWN – Bersempena bula kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam kalender Islam, satu pemeran mengenali baginda bertemakan Mercy for All diadakan di Tingkat 3 Komtar.

Pameran dijalankan selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Oktober ini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyyudin Abdul Rahman, pameran tersebut bertujuan memperkenalkan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat kepada seluruh alam.

“Bertemakan Mercy for All ataupun Rahmatan Lil Alamin, baginda hadir membawa rahmat bukan sahaja kepada umat Islam, bahkan kepada bukan Islam yang amat bersesuaian dengan negeri Pulau Pinang yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan.

“Bersesuaian dengan bulan kelahiran baginda iaitu Rabiulawal, kesempatan ini digunakan untuk memperkenalkan peribadi baginda kepada penduduk Pulau Pinang melalui pameran yang dianjurkan,” ujar Zakiyuddin ketika berucap merasmikan Pameran Mengenali Muhammad anjuran Hidayah Centre bersama dengan Wakaf Pulau Pinang.

Melalui pameran tersebut, orang ramai yang ingin mengenali peribadi baginda atau wujud ketidakfahaman mengenai baginda juga dialu-alukan hadir.

Zakiyuddin dalam pada itu turut menyambut baik inisiatif badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan kuliah, ceramah dan segala bentuk penyampaian tentang baginda menjelang hari kelahirannya 29 Oktober ini bersamaan 13 Rabiulawal.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI