Pameran Orkid Pulau Pinang 21-29 September, spesis ‘Den. Lim Kit Siang’ bakal jadi tarikan

Admin
whatsapp image 2024 08 28 at 08.28.04

GEORGE TOWN – Pameran Orkid Pulau Pinang 2024 akan diadakan secara besar-besaran selama sembilan hari bermula 21 – 29 September 2024 di Straits Court, Straits Quay dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, pameran yang dianjurkan oleh The Federation of Malaya Orchid Society (FOMOS) dan disokong oleh Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bagi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif dijangka bakal menarik minat para peminat orkid termasuk pelancong dari luar negara.

“Lebih daripada 700 orkid akan bersaing dalam pertandingan kecantikan, mempamerkan pesona unik mereka.

“Semasa pameran, pengunjung bukan sahaja dapat melihat pelbagai jenis orkid yang cantik tetapi juga membeli spesies orkid kegemaran mereka,” ujarnya melalui kenyataan media bertarikh 26 Ogos 2024.

 cuva
WONG Hon Wai (kiri) melihat antara spesis orkid yang bakal dipamerkan nanti.

Selain itu, jelas Hon Wai, aktiviti-aktiviti menarik turut dianjurkan antaranya acara mencari harta karun yang akan diadakan pada 19 September 2024 di Taman Bandaraya (Youth Park).

“Acara ini telah berjaya menarik penyertaan kira-kira 70 pelajar dari sekolah antarabangsa dan tempatan, kami juga menantikan penyertaan aktif semua orang.

“Selain itu, pertandingan seni floral orkid akan diadakan pada 21 September 2024 yang mana seramai 100 pengakap dari 40 sekolah tempatan dan empat sekolah antarabangsa akan berkumpul untuk mempamerkan kecintaan mereka terhadap orkid melalui kemahiran seni floral,” katanya.

Menurut Hon Wai, salah satu tema utama pameran pada tahun ini adalah pengenalan khas spesis orkid ‘Dendrobium’ baharu dari Thailand, yang bakal dinamakan sempena dedikasi seumur hidup dan sumbangan cemerlang Tan Sri Dato’ Seri Utama Lim Kit Siang terhadap Pulau Pinang dan Malaysia.

“Varieti ini, yang dipanggil ‘Den. Lim Kit Siang’ melambangkan ketahanan, kesucian dan kecantikan serta mencerminkan perwatakan Tan Sri (Kit Siang).

“Bunga yang anggun dan warna-warna cerah ‘Den. Lim Kit Siang’ pasti akan menjadi tarikan utama dalam pameran orkid ini,” katanya lagi.