Pameran pendidikan dan inovasi bantu pacu ke arah IR4.0

Admin

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menyifatkan Program Pameran Pendidikan dan Inovasi Serantau sebagai platform penting bagi penyebaran idea-idea kreatif dan inovasi yang bakal memberi impak posifit kepada landskap pendidikan dan teknologi khususnya di Pulau Pinang.

 

 

Malah katanya, ia menjadi pencetus semangat kepada pelajar-pelajar dan generasi muda dalam memupuk sifat kecintaan kepada ilmu seterusnya mencapai kecemerlangan pada masa akan datang.

 

 

“Ini bertepatan dengan pendekatan Malaysia Madani dari aspek pendidikan, bahawa pentingnya untuk memastikan pendidikan tidak kehilangan misi moral dan sosialnya bagi membentuk generasi yang berakhlak, baik, seimbang dan bertamadun dalam melahirkan modal insan berdaya saing dan berintegriti.

 

 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah dengan progresif dalam meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini melalui program-program yang dianjurkan oleh Al-Hady Centre sebagai Pusat Kajian Ketamadunan dan Pemikiran Islam milik Kerajaan Negeri.

 

 

“Saya juga percaya bahawa melalui pendidikan, perpaduan dalam kalangan masyarakat dapat dicapai dengan adanya program-program yang menggalakkan pemahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya, agama dan latar belakang etnik dalam kalangan pelajar,” ujarnya pada Pameran Pendidikan dan Inovasi Serantau Syed Sheikh Al-Hady dan Walkathon C-Heart KITAB (Kolej Islam Teknologi Antarabangsa) 1.0 di Dataran Akademik Kitab Pulau Pinang di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Timbalan Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Dr. Roslan Ahmad; Setiausaha MAINPP, Dato’ Rosidi Hussain dan Pemangku Rektor KITAB, Prof. Madya Dr. Wan Nazjmi Mohamed Fisol dan wakil-wakil institusi terlibat.

 

Tambahnya, suntikan elemen inovasi dan teknologi sepanjang pameran ini berlangsung adalah amat signifikan dan selari dengan usaha Kerajaan Negeri dalam mencapai Visi Penang2030.

 

 

“Penglibatan pelbagai pihak pada program kali ini yang memberi fokus kepada aspek inovasi diharapkan dapat memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan sesebuah masyarakat terutamanya di Pulau Pinang sejajar dengan era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

 

 

“Justeru, Kerajaan Negeri berazam untuk terus mempertahankan momentun yang telah dicapai dan pada masa sama akan terus bersaing pada peringkat global melalui transformasi yang diilhamkan dalam visi tersebut,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

 


Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI