Pameran Sains Antarabangsa PP sedia platform sains & teknologi belia tempatan

KETUA Menteri meneliti hasil reka cipta pelajar-pelajar tempatan pada penganjuran Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri meneliti hasil reka cipta pelajar-pelajar tempatan pada penganjuran Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

BAYAN BARU – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai visi dalam mengubah negeri ini menjadi bandar antarabangsa dan pintar dan pada masa yang sama mengekalkan warisan yang kukuh serta menjadi lokasi pelancongan pilihan di Malaysia.

Ekoran itu, satu Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang telah diadakan buat pertama kalinya di negeri ini dan mendapat sambutan menggalakkan daripada semua lapisan masyarakat termasuk pelajar, guru-guru, ibu bapa, ahli akademik dan para pemimpin industri.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, pameran tersebut buat pertama kalinya diadakan di stadium sukan dengan disertai oleh pelajar-pelajar antarabangsa dari negara luar.

“Pameran sains ini juga buat pertama kali dibiayai oleh Kerajaan Negeri dengan dorongan syarikat-syarikat besar seperti Intel, Altera, Philips Instruments, Motorola Solutions, Agilent, B. Braun, Mini Circuits, Philips Lumileds, Seagate dan Astro,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut di Stadium Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti telah diadakan bagi menguji minda peserta dan pelbagai demonstrasi sains turut diadakan bagi menekankan pendidikan sains dalam diri setiap belia. Program tersebut juga merupakan platform bagi setiap kanak – kanak menghabiskan masa terluang mereka dengan pelbagai aktiviti berfaedah di samping menimba ilmu pengetahuan.

Pameran yang diadakan selama dua hari bermula jam 9 pagi hingga 9 malam tersebut adalah anjuran Majlis Sains Pulau Pinang dan Pergalakkan Program Sains dan Teknologi (PPST).